Liga Super: Perak 0 Selangor 1

Selangor berjaya meraih kemenangan kedua berturut dalam saingan Liga Super 2017 selepas menewaskan Perak 1-0 pada perlawanan ke-15 di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi untuk naik satu anak tangga ke kedudukan keempat.

Gol tunggal kemenangan diperoleh menerusi penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe pada minit ke-62, enam minit selepas Selangor terpaksa beraksi 10 pemain akibat kad merah dilayangkan kepada Andik Vermansah.

Terdahulu, Perak kendalian Mehmet Durakovic yang turun dengan reputasi hebat menang tiga perlawanan berturut (satu aksi Liga Super dan dua aksi Piala Malaysia) sejak 1 Julai lalu tampak garang mengasak kubu Selangor pada babak awal permainan.

Sepakan percuma Hafiz Kamal yang ditanduk Thiago Junio pada minit ketujuh berjaya ditepis penjaga gol Selangor, Norazlan Razali sebelum kapten, Razman Roslan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya disusuli seminit kemudian, sepakan lencong Thiago ditepis keluar oleh Norazlan.

Norazlan terus cemerlang apabila menafikan dua sepakan percuma Perak dengan menampan tepat bola sepakan mengelirukan Nazrin Nawi pada minit ke-12 dan menangkap kemas sepakan Leandro Dos Santos empat minit berselang.

Selepas itu, baru Selangor mula menguji kubu Perak dengan tandukan Rufino Segovia selepas hantaran jauh A Namathevan sedikit sipi dari gawang gol Perak pada minit ke-18 disusuli percubaan jarak dekat Forkey Doe selepas mengatasi kapten Perak, Shahrom Abdul Kalam enam minit kemudian yang gagal menemui sasaran.

Peluang terbaik Selangor selepas itu hadir pada minit ke-34, namun percubaan Rufino hasil umpanan Forkey Doe berjaya dihadang keluar penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Bersambung babak kedua, Selangor mula mengasak ke kubu Perak dengan rembatan deras Rufino selepas menerima hantaran Raimi Md Nor pada minit ke49 sedikit tinggi melewati palang gol dan percubaan Andik lima minit berselang selepas melakukan larian solo berjaya dihadang kemas oleh Shahrom.

Namun malang menimpa Andik apabila pengadil, Mohd Nafeez Abd Wahab melayangkan terus kad merah kepadanya pada minit ke-56 berikutan kekasaran yang dilakukan terhadap Zaquan Adha Abdul Radzak.

Biarpun beraksi kurang seorang pemain, anak buah P Maniam akhirnya berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-62 berpunca kesilapan Shahrom hilang bola dirampas oleh Forkey Doe yang seterusnya melakukan sepakan lambung mengatasi Hafizul Hakim yang sudah terkeluar daripada posisinya.

Selepas itu, Perak tampak terus tertekan dalam memburu gol penyamaan dengan barisan pertahanan Selangor bijak menutup segenap ruang.

Satu percubaan jarak jauh berjaya dilakukan pemain pertahanan kanan Perak, Amirul Azhan Aznan pada minit ke-71 tetapi berjaya ditumbuk kemas oleh Norazlan.

Berbaki 10 minit terakhir, Perak terus mengasak tetapi Zaquan Adha yang memiliki peluang terbuka pada minit ke-85 memilih untuk merembat tinggi manakala tandukan Leandro seminit selepas itu yang berjaya menggegar jaring tidak dikira gol oleh pengadil selepas pemain gantian, Abdul Hadi Yahaya sudah pun berkedudukan ofsaid.

Selepas mengharungi 15 perlawanan, Selangor kini di tangga keempat dengan 23 mata, di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim dengan 36 mata, Kedah 27 mata dan Pahang 24 mata.

Perak pula jatuh dua anak tangga ke kedudukan keenam dengan 21 mata, di belakang Felda United di tangga kelima dengan 23 mata.

Selangor selepas ini akan berdepan Kedah untuk perlawanan ke-16 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu ini.

PERAK: 22. Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy; 23. Amirul Azhan Aznan, 5. Shahrom Abdul Kalam (C), 26. Thiago Junio, 21. Nazirul Naim Che Hashim (14. Abdul Hadi Yahaya 74′); 4. Nasir Basharudin, 25. Leandro Dos Santos, 27. Hafiz Kamal, 20. Nazrin Nawi (19. Jasazrin Jamaludin 69′); 8. Zaquan Adha Abdul Radzak, 51. Gilmar Da Silva.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 9. Adam Nor Azlin; 2. A Namathevan, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (23. S Veenod 69′), 29. Amri Yahyah (26. Fairuz Abdul Aziz 90’+4), 15. Raimi Md Nor; 7. Andik Vermansah, 10. Francis Forkey Doe (4. Abdul Halim Zainal 76′), 30. Rufino Segovia.

Pengadil: Mohd Nafeez Abd Wahab