Liga Super: Perak 0 Selangor 1

Selangor berjaya meraih kemenangan sulung musim ini selepas menewaskan Perak 1-0 pada perlawanan kedua Liga Super 2016 di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Gol sepakan penalti Patrick Ronaldinho Wleh seawal minit kelapan sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu yang seri 1-1 dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pertama di Larkin, Sabtu lalu.

Pada perlawanan malam tadi, Selangor sedikit pincang apabila turun tanpa Robert Cornthwaite, Nazmi Faiz Mansor dan Ahmad Hazwan Bakri yang cedera ketika bertemu JDT serta S Veenod yang baru kematian adik perempuannya akibat kemalangan.

Bagaimanapun seawal minit keenam Selangor dihadiahkan sepakan penalti selepas penyerang import, Mauro Olivi dijatuhkan pemain pertahanan Perak.

Ronaldinho tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk gol pertama Selangor pada minit kelapan.

Namun khidmat Olivi tidak berpanjangan apabila dia tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan dan digantikan dengan Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-16.

Perak kemudian menguji gawang Selangor yang dikawal Norazlan Razali, namun rembatan jarak jauh Fazrul Hazli berjaya ditepis keluar penjaga gol Selangor itu pada minit ke-23.

Selangor turut berpeluang menerusi serangan pantas R Gopinathan dari sebelah kiri tetapi sentuhan penyudahnya tidak begitu bertenaga dan berjaya didakap kemas penjaga gol Perak, Hafizul Hakim pada minit ke-43.

Bersambung separuh masa kedua, sepakan percuma jarak jauh Firdaus Saiyadi hampir memerangkap Norazlan tetapi berjaya juga ditangkap kemas penjaga gol Selangor itu pada minit ke-52.

Selangor kemudian hampir menambah jaringan pada minit ke-61, namun sepakan percuma kaki kiri Hafiz Kamal dari sebelah kanan sekadar menggegar tiang gol Perak.

Dua minit berselang, Ronaldinho pula beroleh peluang di dalam kotak penalti tetapi percubaannya berjaya dihadang penjaga gol Perak.

Pada minit ke-64, sekali lagi peluang terbaik buat Selangor apabila sepakan sudut melencong diambil Hafiz berjaya dikeluarkan pemain pertahanan Perak di atas garisan gol.

Seminit sebelum perlawanan berakhir, Andik Vermansah turut berpeluang mencatat namanya dalam senarai penjaring, namun percubaan jarak dekatnya di depan pintu gol berjaya dinafikan penjaga gol Perak dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

Selangor selepas ini akan bertemu pasukan Piala FAM, AirAsia Allstars FC pada perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat ini.

PERAK: 22. Hafizul Hakim, 15. Raffi Nagorgani, 3. Shahrul Saad, 26. Thiago Junior, 24. Hisyamuddin Shaari, 17. Elias De Olivera (14. Fikri Sudin 46′), 12. Kenny Pallraj (33. Firdaus Saiyadi 28′), 19. Fazrul Hazli, 35. Ahmad Kharil Anuar, 30. Eric Lewis, 9. Vokhid Shodiev (11. Ridzuan Azly 67′).

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Abdul Kalam (C), 13. Razman Roslan, 15. Raimi Md Nor (3. Azmi Muslim 84′), 7. Andik Vermansah, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 21. Hafiz Kamal, 25. R Gopinathan (9. Adam Nor Azlin 66′), 16. Mauro Olivi (14. Abdul Hadi Yahaya 16′), 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

Pengadil: Zohri Tajuddin