Liga Super: PDRM 1 Selangor 4

Selepas tewas sekali dan seri dua kali, Selangor akhirnya berjaya mencatat kemenangan sulung dalam saingan Liga Super musim ini apabila tampil garang menewaskan PDRM 4-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ia meneruskan persembahan cemerlang skuad kendalian Mehmet Durakovic itu yang berjaya melangkah ke pusingan ketiga Piala FA selepas menyingkirkan naib juara musim lalu, Felda United 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi pusingan kedua di Stadium Selayang, 28 Februari lalu berakhir seri 2-2.

Pada aksi malam tadi, Selangor yang bertindak sebagai pasukan pelawat memandangkan Stadium Shah Alam juga adalah gelanggang sendiri PDRM, berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi Ahmad Hazwan Bakri sebelum menambah tiga lagi gol pada babak kedua menerusi Afiq Azmi, Abdul Hadi Yahya dan Guilherme De Paula.

Seawal minit kedua, De Paula dijatuhkan penjaga gol PDRM, Badrulzaman Abdul Halim, namun permintaan sepakan penalti oleh penyerang dari Brazil itu tidak dilayan pengadil, Nazmi Nasarudin.

PDRM juga nyaris beroleh gol awal tetapi rembatan Ashfaq Ali dari dalam kotak penalti sekadar menggegar tiang gol Selangor pada minit ke-10.

Dua minit berselang, Selangor terpaksa membuat pertukaran awal apabila kapten, Shahrom Kalam mengalami kecederaan dan Rizal Fahmi Rosid dibawa masuk.

Gol pertama Selangor hadir pada minit ke-23 selepas pertahanan PDRM, V Thirumurugan melakukan kesilapan ketika mengeluarkan bola dan Ahmad Hazwan mudah menolak masuk menewaskan Badrulzaman yang sudah terkeluar daripada posisinya.

Selangor terus selesa sebaik separuh masa kedua bermula, apabila Afiq hanya memerlukan 34 saat untuk meloloskan dirinya melepasi kawalan pertahanan PDRM sebelum menyepak masuk bola menewaskan Badrulzaman untuk gol kedua Selangor pada minit ke-46.

PDRM hampir mendapat gol pada minit ke-51, namun sepakan percuma padu kapten, Muslim Ahmad sekali lagi menggegar tiang gol Selangor.

Akhirnya gawang Selangor dikawal Syamim Othman bolos pada minit ke-58 menerusi penyudah Dramane Traore dalam kotak penalti untuk seketika merapatkan kedudukan 2-1.

Durakovic bingkas membawa masuk K Gurusamy menggantikan Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-68 untuk menghidupkan semula jentera tengahnya disusuli kemasukan Abdul Hadi menggantikan Afiq pada minit ke-74.

Tidak sampai seminit dia dimasukkan, Abdul Hadi pantas menyambar peluang untuk gol ketiga Selangor pada minit ke-74.

Semangat Selangor semakin membara selepas itu dan De Paula akhirnya berjaya juga meletakkan namanya dalam senarai penjaring dengan rembatan kaki kiri menewaskan Badrulzaman untuk gol keempat Selangor pada minit ke-78.

Hasrat PDRM cuba bangkit merapatkan semula kedudukan seminit kemudian dinafikan kecekapan Syamim yang berjaya menepis keluar rembatan cantik Traore.

Gurusamy hampir menambah jaringan Selangor, namun sepakan percumanya pada minit ke-87 berjaya ditepis keluar Badrulzaman untuk kedudukan 4-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Selepas empat perlawanan, Selangor kini di tangga kelapan Liga Super dengan lima mata, ketinggalan hanya tiga mata di belakang pendahulu, Felda United dan pasukan tangga kedua, Perak yang berkongsi lapan mata.

Perlawanan seterusnya, Selangor akan menanti kunjungan Sarawak di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

PDRM: 22. Badrulzaman Abdul Halim, 17. V Thirumurugan, 19. Afif Amiruddin (9. Shahurain Abu Samah ’74), 24. Muslim Ahmad (c), 21. Kughegbe Onoriode, 4. Ahmad Nizam Rodzi, 26. Mohamadou Sumareh, 8. Ahmad Ezrie Shafizie (18. Asyidi Dil Ashar ’85), 13. Fauzi Abd Majid, 7. Ashfaq Ali, 10. Dramane Traore.

SELANGOR: 1. Syamim Othman, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 2. Robert Cornthwaite, 5. Shahrom Kalam (c) (17. Rizal Fahmi Rosid ’12), 15. Raimi Md Nor, 7. Andik Vermansah, 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor (25. K Gurusamy ’68), 11. Ahmad Hazwan Bakri, 19. Afiq Azmi (14. Abdul Hadi Yahya ’74), 13. Guilherme De Paula.

Pengadil: Nazmi Nasarudin