Liga Super: PDRM 0 Selangor 0

Selangor meraih satu mata dari gelanggang lawan selepas seri 0-0 dengan PDRM pada perlawanan kesembilan Liga Super 2016 di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi yang menyaksikan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu menamatkan permainan dengan 10 pemain.

 Usaha membawa pulang tiga mata penuh terbantut selepas Selangor kekurangan seorang pemain pada minit ke-71 apabila pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor dilayangkan kad merah kerana menyiku pemain import PDRM, Andrezinho betul-betul di hadapan pengadil, Mohd Nafeez Abd Wahab.

 Dengan keputusan seri itu, Selangor kekal di tangga ketiga dengan 15 mata, di belakang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim dengan 21 mata selepas seri 1-1 dengan Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi manakala pendahulu, Felda United yang sudah meraih 21 mata hanya akan turun beraksi menentang Perak di Ipoh, malam ini.

 Selepas kembali menemui sentuhan kemenangan dengan menewaskan Pulau Pinang 1-0 di Selayang pada Rabu lalu, Zainal mengekalkan kesebelasan sama kecuali Razman Roslan yang terpaksa disisihkan kerana mengalami sedikit kecederaan dan posisi pertahanan kiri kembali diisi Raimi Md Nor.

 Selangor tidak menunggu lama untuk mencuba apabila Patrick Ronaldinho Wleh mendapat peluang terbuka di depan pintu gol PDRM pada minit kedua, namun sepakannya pantas dihadang keluar pertahanan import lawan, Souleymane Konate.

 Selang tujuh minit kemudian, giliran penyerang import PDRM, Safuwan Baharudin menguji gawang Selangor tetapi percubaannya di depan kotak penalti tepat ke dakapan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.

 Safuwan sekali lagi mencemaskan pintu gol Selangor pada minit ke-18 tetapi tandukannya selepas menerima hantaran jauh berjaya dibaca baik oleh Khairulazhan.

 Selangor kemudian dihadiahkan sepakan percuma dalam kotak penalti selepas penjaga gol PDRM, Willfred Jabun menangkap bola hantaran ke belakang rakan sepasukan tetapi sepakan percuma pendek diambil Mauro Olivi sekadar disepak tinggi oleh Ronaldinho pada minit ke-27.

 Menuju waktu rehat, Selangor sekali lagi mencuba tetapi sepakan kaki kiri Ahmad Hazwan Bakri dari luar kotak penalti pada minit ke-39 sedikit tinggi melewati palang gol PDRM.

 Selepas babak kedua bersambung, jurulatih PDRM, Fauzi Pilus terpaksa mengeluarkan kaptennya, Ashfaq Ali akibat kecederaan dan memasukkan Shafiq Jamal pada minit ke-54.

 Selangor beroleh tiga peluang terbaik berturut-turut selang seminit bermula sepakan kaki kiri Olivi yang tepat ke arah Willfred pada minit ke-59 disusuli sepakan percuma Olivi yang ditanduk sedikit tersasar Shahrom Kalam dan percubaan Ronaldinho yang berjaya dikeluarkan pertahanan PDRM di depan pintu gol.

 Pada minit ke-70, Zainal melakukan pertukaran pertama dengan memasukkan Hafiz Kamal menggantikan Hazwan, namun malang pula menimpa Selangor seminit kemudian apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas Nazmi dilayangkan kad merah.

 Biarpun beraksi 10 pemain, Selangor terus berusaha memburu gol dan pada minit ke-80, gerakan solo Andik Vermansah dari sebelah kiri dengan mengatasi beberapa pemain pertahanan PDRM diakhiri dengan percubaannya berjaya ditepis keluar oleh Willfred.

 Selangor bagaimanapun menarik nafas lega selepas Shahrom berjaya mengeluarkan bola di atas garisan gol bagi menyelamatkan percubaan Safuwan pada minit ke-86 untuk memastikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 0-0.

 Selepas ini, Selangor akan bertemu kelab Filipina, Ceres FC untuk perlawanan Piala AFC 2016 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Selasa ini diikuti aksi ke-10 Liga Super di laman sendiri bertemu T-Team pada 4 Mei.

PDRM: 1. Willfred Jabun, 25. Safwan Hasyim, 2. K Reuben, 20. Souleymane Konate, 23. Fekry Tajudin, 4. Ahmad Nizam Rodzi (19. Amir Saiful Badeli 67′), 11. Lot Abu Hassan, 24. Hazsyafiq Hamzah (33. Afzal Nazri 77′), 10. Andrezinho, 7. Ashfaq Ali (C) (18. Shafiq Jamal 54′), 21. Safuwan Baharudin.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Abdul Kalam (C), 2. Robert Cornthwaite, 15. Raimi Md Nor, 7. Andik Vermansah, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 10. Nazmi Faiz Mansor, 11. Ahmad Hazwan Bakri (21. Hafiz Kamal 70′), 16. Mauro Olivi (9. Adam Nor Azlin 85′), 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

Pengadil: Mohd Nafeez Abd Wahab