Liga Super: Pahang 1 Selangor 3

Selangor berjaya meraih kemenangan kedua berturut pada aksi Liga Super selepas menewaskan Pahang 3-1 pada perlawanan ketiga di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi untuk terus memberi tekanan kepada dua pasukan teratas, Felda United dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketinggalan menerusi jaringan pemain berusia 18 tahun, Faisal Abdul Halim pada minit ke-13, Selangor bangkit membalas dua gol menerusi Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-36 dan 45 sebelum menambah satu lagi gol pada babak kedua menerusi R Gopinathan, minit ke-67.

Jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan menurunkan keempat-empat bekas pemain Pahang yang dibawanya ke Selangor musim ini – penjaga gol Khairulazhan Khalid, Razman Roslan, Hafiz Kamal dan Gopinanthan dengan Razman diberi lilitan lengan selaku kapten untuk bergandingan dengan ketua pasukan Selangor, Shahrom Kalam di posisi pertahanan tengah.

Amaran awal Selangor menerusi sepakan percuma Hafiz pada minit keempat, namun sedikit sipi di sebelah kiri gawang Pahang yang dikawal oleh bekas penjaga gol Selangor, Nasril Nourdin.

Faisal mencemaskan seketika gawang Selangor tetapi mujur percubaan jarak dekatnya pada minit kelima sipi ke kanan pintu gol Selangor.

Minit kesembilan, gawang Selangor terselamat lagi apabila kali ini sepakan penyerang import Pahang, German Pacheco terkena tiang kanan dan melantun keluar tatkala Khairulazhan sudah pun tertewas.

Akhirnya gawang Selangor bocor juga pada minit ke-13 apabila Faisal menyudahkan peluang terbuka di depan pintu gol selepas keadaan kelam kabut untuk gol pertama Pahang menewaskan Khairulazhan.

Selangor tidak cemas dengan jaringan itu dan melancarkan dua serangan berbahaya, namun percubaan sambil berlari Ronaldinho berjaya dihadang Nasril pada minit ke-22 manakala rembatan kencang Andik Vermansah tiga minit kemudian ditepis cantik penjaga gol Pahang itu.

Nasril akhirnya tertewas pada minit ke-36 apabila hantaran Andik dari sebelah kanan menemui Gopinathan yang menghantar bola ke depan gol untuk disudahkan dengan baik oleh Ronaldinho bagi menyamakan kedudukan 1-1.

Ronaldinho terus menjadi duri dalam daging buat pasukan tuan rumah apabila berjaya menambah gol kedua Selangor pada minit ke-45 menerusi penyudah kemas, sekali gus membolehkan Selangor menuju bilik persalinan dengan mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

Selangor memulakan babak kedua dengan lebih garang tetapi percubaan Shahrom selepas sepakan sudut pada minit ke-50 sedikit tinggi manakala sepakan jauh Gopinathan dua minit berselang berjaya ditepis baik oleh Nasril.

Pahang yang sesekali mencuba mencemaskan seketika kem Selangor pada minit ke-66 apabila rembatan jarak jauh Faisal menggegar palang gol.

Namun sisa perjuangan Pahang ditamatkan Gopinathan yang menjaringkan gol ketiga Selangor pada minit ke-67 selepas tenang menyudahkan lorongan Ronaldinho di depan pintu gol.

Biarpun ketinggalan 3-1, Pahang kendalian Ahmad Shahruddin Rosdi masih mencuba tetapi percubaan bahaya Pacheco di dalam kotak penalti berjaya ditepis keluar Khairulazhan pada minit ke-71.

Ketika menuju babak terakhir masa kecederaan, Khairulazhan sekali lagi cemerlang mempertahankan gawang Selangor apabila kali ini menepis keluar percubaan Matthew Davies.

Selepas tiga perlawanan, Selangor kini menghuni tangga ketiga Liga Super berkongsi tujuh mata dengan JDT di tangga kedua manakala Felda United kendalian Irfan Bakti Abu Salim terus gah di tangga teratas menerusi sembilan mata maksimum hasil tiga kemenangan berturut.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan Sarawak untuk aksi sulung di laman sendiri musim ini di gelanggang sendiri ‘sementara’ di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa ini bagi perlawanan keempat Liga Super.

PAHANG: 1. Nasril Nourdin, 2. Matthew Davies, 5. Zesh Rehman (C), 23. Nejc Potokar, 20. Shahrizan Salleh, 6. D Saarvindran (9. Dalibor Volas 80′), 18. Shah Amirul Zamri, 21. Helmi Abdullah, 7. Faisal Abdul Halim, 13. Faizal Abdul Rani, 10. German Pacheco.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (12. Bunyamin Umar 89′), 5. Shahrom Abdul Kalam, 13. Razman Roslan (C), 15. Raimi Md Nor, 7. Andik Vermansah (23. S Veenod 86′), 10. Nazmi Faiz Mansor, 21. Hafiz Kamal, 25. R Gopinathan, 16. Mauro Olivi (8. Saiful Ridzuwan Selamat 94′), 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

Pengadil: Mohd Nafeez Abd Wahab