Liga Super: Pahang 1 Selangor 1

Selangor berjaya mencuri satu mata dari gelanggang lawan selepas seri 1-1 dengan juara Piala Malaysia dan Piala FA musim lalu, Pahang pada perlawanan kedua Liga Super 2015 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Ketinggalan menerusi jaringan Matias Conti pada minit ke-58, Selangor berjaya mengikat kedudukan menerusi jaringan penyamaan pemain sayap import dari Indonesia, Andik Vermansah pada minit ke-63.

Selepas tewas 2-0 kepada Terengganu di Kuala Terengganu pada perlawanan sulung, 7 Februari lalu, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic melakukan satu perubahan dalam kesebelasan utamanya dengan meletakkan Nazmi Faiz Mansor menggantikan S Veenod untuk mengemudi jentera tengah.

Seawal minit ketiga, Pahang kendalian Zainal Abidin Hassan menguji kubu Selangor tetapi tandukan Dickson Nwakaeme selepas menerima hantaran lintang R Gopinathan dari sebelah kiri sekadar melewati palang gol.

Percubaan tepat pertama Selangor kemudian menyusul pada minit ketujuh, namun tandukan penyerang, Abdul Hadi Yahya selepas sepakan percuma Andik dari sebelah kanan mudah ditangkap kemas penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Khalid.

Tiga minit berselang, Selangor mendapat peluang terbaik tetapi rembatan penyerang import dari Brazil, Guilherme De Paula di dalam kotak penalti selepas menerima lorongan cantik Andik berjaya dihadang keluar pertahanan Pahang, Damion Stewart.

Pahang pula hampir mengejutkan Selangor pada minit ke-18 menerusi satu serangan balas dimulakan Nwakaeme apabila lorongan bola dari Gopinathan di sebelah kiri sedikit lewat disambut Conti di depan pintu gol.

Selangor sekali lagi beroleh peluang terbaik, kali ini pada minit ke-36 apabila rembatan kaki kiri pemain sayap, Ahmad Hazwan Bakri dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar Khairul Azhan yang melayangkan badannya untuk menyelamatkan seketika gawang Pahang.

Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua bersambung, Ahmad Hazwan sekali lagi hampa, gagal menyempurnakan peluang terhidang apabila sepakannya dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Andik sekadar lemah untuk diselamatkan Khairul Azhan pada minit ke-47.

Stadium akhirnya bergema dengan sorakan penyokong tuan rumah pada minit ke-58 apabila Pahang berjaya memperolehi gol pertama menerusi rembatan Conti dalam kotak penalti selepas lorongan Nwakaeme dari sebelah kanan dikuis sedikit Azidan Sarudin untuk disudahkan penyerang import dari Argentina itu.

Namun hanya lima minit diperlukan Selangor untuk menyamakan kedudukan apabila Andik yang bergerak solo berjaya mengatasi pertahanan import Pahang, Zesh Rehman sebelum melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan Khairul Azhan.

Pahang yang cuba mencari gol kedua terus mengasak ke kubu Selangor dan menyaksikan dua percubaan menerusi sepakan percuma Hafiz Kamal pada minit ke-75 dan tandukan Conti minit ke-78, kedua-duanya berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Tuan rumah terpaksa menamatkan permainan dengan 10 pemain selepas Hafiz dilayangkan kad kuning kedua, seterusnya kad merah pada masa kecederaan ekoran terjahan kerasnya terhadap Azmi Muslim.

Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dan masing-masing berkedudukan di tangga ke-9 bagi Pahang dan tangga ke-10 buat Selangor dalam carta Liga Super selepas dua perlawanan.

Selepas beraksi dua perlawanan awal di tempat lawan, Selangor akan beraksi di gelanggang sendiri buat pertama kali musim ini dengan menanti kunjungan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan ketiga Liga Super di Stadium Shah Alam, Sabtu ini (21 Februari).

JDT yang menang 2-0 ke atas Pahang pada aksi sulung di Larkin dikejutkan dengan kekalahan 1-0 kepada PDRM pada perlawanan kedua di Stadium Shah Alam, malam tadi.

PAHANG: 1. Khairul Azhan Khalid, 13. Razman Roslan (c), 4. Damion Stewart, 6. Zesh Rehman, 20. Shahrizan Salleh, 7. R Surendran (33. Nor Azam Azih ’45), 8. Azidan Sarudin, 21. Hafiz Kamal, 24. R Gopinathan (19. Fauzi Rozlan ’71), 9. Matias Conti, 10. Dickson Nwakaeme.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Kalam (c), 2. Robert Cornthwaite, 3. Azmi Muslim, 7. Andik Vermansah (19. Afiq Azmi ’90), 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor, 11. Ahmad Hazwan Bakri, 14. Abdul Hadi Yahya, 13. Guilherme De Paula.

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed