ABK17

Liga Super: Pahang 1 Selangor 1

Selangor berjaya mencuri satu mata dari gelanggang lawan selepas mengikat Pahang 1-1 pada perlawanan ke-17 Liga Super 2018 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi, sekali gus memperbaiki kedudukan ke tangga ketujuh.

Ia keputusan seri ketiga berturut diraih skuad kendalian Nazliazmi Nasir itu selepas turut seri 2-2 dengan PKNS FC di Shah Alam dan seri 1-1 dengan Perak di Cheras untuk Selangor kini mengumpul 20 mata menerusi lima kemenangan, lima seri dan enam tewas.

Selepas garang membelasah PKNS FC 4-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA 2018 di Cheras, Sabtu lalu, Nazliazmi hanya melakukan satu perubahan dalam kesebelasan utamanya dengan meletakkan Evan Dimas bagi menggantikan D Kugan yang digantung satu perlawanan.

Separuh masa pertama tidak banyak menampilkan percubaan-percubaan tepat berbahaya dilakukan kedua-dua pasukan sehingga pada minit ke-44, Khairulazhan Khalid berjaya menyelamatkan percubaan Issey Nakajima-Farran selepas penjaga gol Selangor itu terlebih dahulu menumbuk keluar hantaran Norshahrul Idlan Talaha.

Terikat 0-0 pada separuh masa pertama, Selangor dikejutkan pada awal babak kedua apabila Pahang kendalian Dollah Salleh dihadiahkan sepakan penalti selepas penyerang importnya, Austin Amutu dijatuhkan pertahanan import Selangor, Alfonso De La Cruz Calero.

Austin sendiri yang mengambil sepakan penalti itu menyaksikan ia berjaya diselamatkan Khairulazhan, namun tindakan susulan pantas menyaksikan bola berjaya ditolak masuk Wan Zaharulnizam Wan Zakaria untuk gol pendahuluan Pahang pada minit ke-49.

Usaha berterusan Selangor selepas itu akhirnya berhasil pada minit ke-62 apabila lorongan cantik ketua pasukan, Amri Yahyah berjaya disudahkan dengan rembatan kemas penyerang import, Rufino Segovia untuk menewaskan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias bagi gol penyamaan 1-1.

Ketika masa kecederaan, Selangor nyaris dihukum ketika rancak menyerang selepas pemain gantian, Faisal Rosli melakukan sepakan lambung dari bulatan tengah padang yang hampir memerangkap Khairulazhan yang sudah pun terkeluar dari posisi, namun mujur bola sekadar menggegar palang.

Selangor selepas ini akan bertandang ke Stadium Shah Alam, Sabtu ini bagi aksi separuh akhir kedua Piala FA 2018 bertemu PKNS FC dalam usaha juara lima kali itu memburu tiket ke pentas final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 7 Julai ini selepas kali terakhir melakukannya pada 2009.

Saingan Liga Super 2018 pula bakal diteruskan dengan perlawanan ke-18 pada 11 Julai dengan Selangor bakal berdepan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu diikuti aksi ke-19 bertemu Kuala Lumpur di Cheras pada 15 Julai.

PAHANG: 1. Helmi Eliza Elias; 2. Matthew Davies (C), 24. Muslim Ahmad, 12. Bunyamin Umar, 16. Zubir Azmi; 8. Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (28. Kogileswaran Raj 81′), 21. Safuwan Baharudin, 20. Nor Azam Abdul Azih, 11. Issey Nakajima-Farran (14. Faisal Rosli 86′); 9. Norshahrul Idlan Talaha, 29. Austin Amutu (7. Faisal Abdul Halim 66′).

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 5. Amirul Ashraf Ariffin, 23. Willian Pacheco, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan; 6. Evan Dimas (12. Azammuddin Akil 64′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat (4. Abdul Halim Zainal 75′), 20. Syahmi Safari; 17. Amri Yahyah (C), 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn (7. Sean Eugene Selvaraj 89′).

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed

error: Content is protected !!