Liga Super: Negeri Sembilan 3 Selangor 1

Selangor mengalami kekalahan kelapan pada saingan Liga Super 2018 selepas tewas 3-1 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan ke-20 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Skuad kendalian Nazliazmi Nasir itu bagaimanapun kekal di tangga kesembilan tanpa dipintas Kuala Lumpur yang turut tewas kepada Perak, sekali gus kedua-dua pasukan masih terikat dengan 21 mata.

Pada aksi malam tadi, Selangor membuat tiga pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding ketika seri 3-3 dengan Kuala Lumpur apabila penjaga gol Norazlan Razali, Syahmi Safari dan Shahrul Igwan Samsudin menggantikan tempat Khairulazhan Khalid, Amri Yahyah dan Ilham Udin Armaiyn.

Kelekaan benteng pertahanan Selangor membenarkan penyerang import Negeri Sembilan, Nicolas Velez untuk membuka tirai jaringan tuan rumah pada minit ke-12.

Namun Selangor tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan deras kaki kiri penjaring terbanyak, Rufino Segovia pada minit ke-14.

Negeri Sembilan kendalian Mario Lemos bagaimanapun kembali di hadapan menerusi sepakan penalti ketua pasukan, Flavio Beck Junior pada minit ke-17 selepas bola terkena tangan pertahanan Selangor, A Namathevan.

Ketinggalan 2-1 pada separuh masa pertama, Selangor cuba bangkit pada babak kedua tetapi sebaliknya Negeri Sembilan berjaya melebarkan kedudukan 3-1 apabila memperoleh gol ketiga pada minit ke-74 menerusi jaringan kedua peribadi Velez.

Selangor selepas ini akan bertemu Melaka di Stadium Hang Jebat pada Sabtu ini bagi perlawanan ke-21.

NEGERI SEMBILAN: 12. Kaharuddin Rahman; 4. Fauzan Fauzi, 3. Alex Moraes, 55. Osman Yusoff, 11. Aizulridzwan Razali; 7. Flavio Beck Junior (C), 20. Faizal Abu Bakar, 24. Aiman Khalidi; 14. Ferris Danial Mat Nasir (30. Fakrul Aiman Sidid 65′), 58. Angel Guirado (6. Nasriq Baharom 84′), 10. Nicolas Velez (15. Fauzan Dzulkifli 76′).

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 2. A Namathevan, 13. Razman Roslan (C), 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan; 20. Syahmi Safari (12. Azammuddin Akil 76′), 6. Evan Dimas, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 28. Shahrul Igwan Samsudin (17. Amri Yahyah 61′); 7. Sean Eugene Selvaraj, 10. Rufino Segovia.

Pengadil: Zamzaidi Katimin