Liga Super: Melaka 3 Selangor 2

Selangor terlepas peluang untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata dari gelanggang lawan selepas tewas 3-2 kepada Melaka pada perlawanan ke-21 Liga Super 2018 di Stadium Hang Jebat, malam tadi, sekali gus kekalahan ketiga dialami Red Giants dalam empat aksi terakhir mereka.

Tatkala perlawanan dilihat bakal berkesudahan seri dan akan mengesahkan Selangor kendalian Nazliazmi Nasir sah kekal di Liga Super 2019 tanpa mampu lagi dipintas dua pasukan tercorot, Negeri Sembilan dan Kelantan, Nicholas Swirad menjaringkan gol kemenangan Melaka pada minit terakhir tambahan masa untuk menangguhkannya.

Pada aksi malam tadi, Nazliazmi melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utamanya yang tewas 3-1 kepada Negeri Sembilan dengan memberi peluang kepada penjaga gol muda, Haziq Ridwan dan pertahanan muda, Syukri Azman serta Ashmawi Yakin dan Ilham Udin Armaiyn untuk menggantikan tempat Norazlan Razali, K Kannan, Razman Roslan dan Shahrul Igwan Samsudin.

Selangor berjaya mendahului pada minit ke-25 menerusi jaringan peribadi sulung Ilham Udin yang pantas menyudahkan lorongan Rufino Segovia selepas penyerang import dari Sepanyol itu melakukan gerakan solo dari kawasan sendiri.

Melaka kendalian E Elavarasan kemudian cuba membalas, namun kecemerlangan Haziq di gawang Selangor menafikan peluang-peluang terbaik dimiliki pasukan tuan rumah.

Namun bersambung babak kedua, Melaka akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-50 selepas penyerang importnya, Yahor Zubovich melakukan sepakan kaki kiri yang terus melencong masuk ke gawang Selangor tanpa mampu diselamatkan Haziq.

Pada minit ke-69, Nazliazmi melakukan pertukaran pertama dengan memasukkan D Kugan bagi menggantikan Sean Eugene Selvaran dan seminit kemudian, Kugan berjaya menjaringkan gol kedua Selangor selepas menolak masuk bola hantaran lintang Syahmi Safari dari sebelah kanan.

Melaka bagaimanapun sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-83, kali ini Zubovich melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola sepakan percuma Shahdan Sulaiman dari sebelah kanan untuk mengikat kedudukan 2-2.

Ketika perlawanan seakan berkesudahan seri, Swirad muncul wira Melaka apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-93.

Selangor selepas ini akan bertemu PKNP FC di Stadium Perak, Ipoh pada Khamis ini bagi perlawanan ke-11 yang terpaksa ditangguhkan sebelum ini kerana masalah lampu limpah di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

Seterusnya, Selangor akan menutup kempen Liga Super 2018 dengan menanti kunjungan Terengganu FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi perlawanan ke-22 pada Ahad depan.

Selangor kini di tangga kesembilan dengan 21 mata, enam mata mengatasi Negeri Sembilan dan Kelantan yang terikat 15 mata di tangga ke-11 dan ke-12 dengan masing-masing berbaki dua perlawanan.

MELAKA: 20. Khairul Fahmi Che Mat (C); 8. Faris Shah Rosli, 5. Nicholas Swirad, 15. Steven Thichot, 21. Azmi Muslim; 30. S Veenod (19. Fauzi Rozlan 80′), 4. Shazlan Alias (7. R Surendran 46′), 16. Shahdan Sulaiman, 24. R Gopinathan; 17. Yahor Zubovich, 10. Ifedayo Olusegun.

SELANGOR: 22. Haziq Ridwan; 2. A Namathevan, 15. Ashmawi Yakin, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 24. Syukri Azman (3. K Kannan 84′); 20. Syahmi Safari, 6. Evan Dimas (17. Amri Yahyah 90′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat (C), 7. Sean Eugene Selvaraj (30. D Kugan 69′); 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn.

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed