ABK17

Liga Super: Kuala Lumpur 0 Selangor 2

Selangor memulakan kempen Liga Super 2018 dengan muncul peneraju tangga teratas selepas meraih tiga mata penuh di gelanggang lawan menewaskan musuh setempat, Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Sehari sebelum itu, tiga pasukan lain turut mencatat kemenangan sulung dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim memenangi Piala Sumbangsih, Piala Sultan Hj Ahmad Shah selepas menewaskan Kedah 2-1 di Larkin, Melaka menewaskan Kelantan 2-1 di Stadium Hang Jebat sementara PKNP FC menundukkan Negeri Sembilan 1-0 di Batu Kawan.
Namun kelebihan perbezaan dua gol menerusi sentuhan penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia pada setiap babak di Cheras malam tadi memastikan kedudukan pendahulu carta liga menjadi milik skuad Red Giants kendalian P Maniam.
Gol pertama Selangor hadir pada minit ke-16 menerusi tandukan kemas Rufino hasil hantaran Azammuddin Akil dari sebelah kanan yang gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Kamarul Effandi Abdul Rahim untuk menggemuruhkan suasana stadium yang dipenuhi kira-kira 10,000 penyokong Red Giants.
Kuala Lumpur kendalian bekas jurulatih kebangsaan Timor Leste dari Brazil, Fabio Magrao bagaimanapun hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-38, namun percubaan Ashri Chuchu berjaya dikeluarkan pemain Selangor, K Kannan di atas garisan gol ketika penjaga gol, Norazlan Razali sudah pun tertewas.
Berkelebihan 1-0 pada separuh masa pertama, Selangor memulakan babak kedua dengan pemain veteran, Amri Yahyah, 37, dibawa masuk bagi menggantikan Azammuddin yang mengalami kecederaan buku lali.
Kuala Lumpur yang kembali ke pentas Liga Super musim ini selepas lima musim beraksi di Liga Premier sekali lagi memperoleh peluang terbaik pada minit ke-64 tetapi kali ini rembatan deras pemain import dari Brazil, Paulo Josue sekadar menggegar palang gol Selangor.
Pada minit ke-75, giliran Selangor pula untuk hampir menambah jaringan selepas sepakan percuma pemain import dari Indonesia, Evan Dimas yang ditanduk tipis pemain gantian, M Tamil Maran sekadar singgah ke palang gol Kuala Lumpur.
Sisa perjuangan Kuala Lumpur ditamatkan oleh Rufino yang melepaskan sepakan deras dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Amri untuk gol kedua Selangor pada masa kecederaan.
Selangor selepas ini akan menanti kunjungan Melaka pada Rabu ini bagi perlawanan kedua Liga Super 2018, juga di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang menjadi gelanggang sendiri Red Giants bagi musim ini.
KUALA LUMPUR: 1. Kamarul Effandi Abdul Rahim; 27. Hafiz Johar, 24. Hisyamudin Sha’ari, 12. Bobur Akbarov, 25. Azmeer Yusof (17. Irfan Zakaria 81′); 20. Zhafri Yahya (9. Ibrahim Syaihul 46′), 23. Indra Putra Mahayuddin (C), 28. Paulo Josue; 11. Ashri Chuchu (6. Syazwan Andik Ishak 64′), 10. Guilherme de Paula, 7. Junior Aparecido.
SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 13. Razman Roslan (C), 23. Willian Pacheco, 26. Fairuz Abdul Aziz; 30. D Kugan, 14. Alfonso De La Cruz Calero (8. Saiful Ridzuwan Selamat 62′), 6. Evan Dimas, 3. K Kannan; 12. Azammuddin Akil (17. Amri Yahyah 46′), 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn (27. M Tamil Maran 71′).
Pengadil: Suhaizi Shukri