Liga Super: Kelantan 2 Selangor 5

Selangor bangkit daripada keputusan seri tanpa jaringan dengan Kelantan di Stadium Shah Alam, Rabu lalu apabila garang membelasah lawan sama 5-2 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada aksi sulung pusingan kedua Liga Super 2015, malam tadi.

Ketinggalan 1-0 menerusi jaringan penyerang import Kelantan, Blazhe Ilijoski seawal minit ke-10, Selangor yang turun tanpa penyerang utama, Patrick Ronaldinho Wleh yang cedera berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Hafiz Kamal selepas sepakan sudut Andik Vermansah pada minit ke-16.

R Gopinathan meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-20 selepas menyudahkan hantaran Mauro Olivi sebelum Nazmi Faiz Mansor menjadikan kedudukan 3-1 untuk separuh masa pertama selepas melakukan sepakan lencong menarik selepas menerima tolakan Olivi pada minit ke-36.

Jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan melakukan pertukaran pertama pada penghujung babak pertama dengan memasukkan Ahmad Hazwan Bakri menggantikan Andik yang mengalami kecederaan.

Bersambung babak kedua, Selangor tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila Razman Roslan menolak masuk sepakan percuma Hafiz untuk gol keempat pasukan pelawat pada minit ke-50.

Kelantan berjaya merapatkan kedudukan 4-2 selepas Dramane Traore mengatasi Shahrom Kalam dan Razman sebelum melepaskan sepakan kaki kiri mengelirukan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali pada minit ke-60.

Namun selang tiga minit kemudian, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dilayangkan kad merah untuk dua perlawanan berturut-turut pengendali baharu Kelantan, Velizar Popov menyaksikan pasukannya terpaksa beraksi 10 pemain.

Kelebihan itu dimanfaatkan Selangor untuk menambah satu lagi gol menerusi Ahmad Hazwan Bakri yang berjaya memperdaya penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-88 untuk keputusan penuh perlawanan, Selangor menang 5-2.

Selepas 12 perlawanan, Selangor kekal di tangga ketiga dengan 22 mata, di belakang pendahulu baharu, Johor Darul Ta’zim dengan 30 mata dan Felda United turun ke tangga kedua dengan 28 mata.

Saingan Liga Super berehat panjang untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa skuad kebangsaan disusuli bulan Ramadan dan akan disambung semula selepas Aidilfitri.

KELANTAN: 19. Khairul Fahmi Che Mat, 5. Nik Shahrul Azim Ab Halim, 2. Norhafiz Zamani Misbah, 20. Muslim Ahmad, 12. Qayyum Marjoni Sabil, 17. Fakhrul Zaman (25. Dramane Traore 46′), 28. Jonathan Lucca (9. Khairul Izuan 60′), 16. Badhri Radzi (C), 8. Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, 23. Indra Putra Mahayuddin, 26. Blazhe Ilijoski.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 2. Robert Cornthwaite (9. Adam Nor Azlin 54′), 5. Shahrom Kalam (C), 15. Raimi Md Nor, 21. Hafiz Kamal, 13. Razman Roslan (17. Rizal Fahmi Rosid 80′), 10. Nazmi Faiz Mansor, 7. Andik Vermansah (11. Ahmad Hazwan Bakri 45′), 25. R Gopinathan, 16. Mauro Olivi.

Pengadil: Amirul Izwan Yaacob