Liga Super: Kelantan 2 Selangor 1

Selepas dua minggu gah berada di tangga teratas Liga Super, Selangor terpaksa turun ke tangga kedua selepas tewas 2-1 kepada Kelantan pada perlawanan kesembilan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Bukan saja gagal menamatkan kemarau kemenangan selama 13 tahun di Kota Bharu, skuad kendalian Mehmet Durakovic itu turut gagal meneruskan rentak kemenangan sepanjang lima perlawanan liga berturut-turut sebelum ini.

Selangor bertandang ke Kota Bharu kali ini dengan motivasi cukup tinggi berikutan kemenangan besar 4-0 ke atas Lions XII di Stadium Shah Alam, minggu lalu.

Namun mereka dikejutkan gol pertama Kelantan seawal minit kelima menerusi tandukan penyerang import baharu dari Brazil, Gilmar Da Silva yang tidak dikawal ketika menyambut bola hantaran sepakan sudut kapten tuan rumah, Badhri Radzi untuk menewaskan Syamim Othman di gawang Selangor.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor bagaimanapun tidak panik dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-11 menerusi sepakan kaki kiri menarik Nazmi Faiz Mansor dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Pada minit ke-27, Kelantan kecewa apabila jaringan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dibatalkan pengadil kerana mendapati pemain sayap itu sudah pun berkedudukan ofsaid untuk babak pertama berakhir terikat 1-1.

Bersambung babak kedua, rentak permainan rancak diteruskan kedua-dua pasukan dalam memburu tambahan gol.

Gol kemenangan Kelantan akhirnya terhasil pada minit ke-73 menerusi penyudah kemas penyerang gantian, Norfarhan Muhammad yang baru seminit dimasukkan jurulatih Azraai Khor Abdullah bagi menggantikan Badhri.

Selepas sembilan perlawanan, tangga teratas Liga Super kini dirampas semula PDRM yang mengumpul 18 mata selepas menewaskan Terengganu 3-1 di Shah Alam, diikuti Selangor di tangga kedua, berkongsi 17 mata dengan pasukan tangga ketiga, Felda United yang turut tewas 1-0 kepada Pahang di Selayang.

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula di tangga keempat diikuti tiga pasukan yang berkongsi 14 mata iaitu Perak, Pahang dan Terengganu.

Untuk perlawanan ke-10, Selangor bakal menanti kunjungan Perak di Stadium Shah Alam, Sabtu ini (2 Mei) sebelum saingan Liga Super berehat selama tujuh minggu dan apabila disambung semula, Selangor akan bertemu Felda United di Stadium Selayang pada 20 Jun.