ABK17

Liga Super: Kelantan 2 Selangor 1

Selangor gagal mencuri mata dari gelanggang lawan apabila tewas 2-1 kepada Kelantan pada perlawanan ke-18 Liga Super 2018 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Selepas tewas 2-0 kepada Pahang pada Final Piala FA 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu lalu, jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir melakukan empat pertukaran dalam kesebelasan utamanya.

Evan Dimas, Abdul Halim Zainal, Azammuddin Akil dan Joseph Kalang Tie dipertaruhkan bagi menggantikan tempat Syahmi Safari, Saiful Ridzuwan Selamat, D Kugan dan Ilham Udin Armaiyn.

Selangor bermula garang dengan percubaan Evan berjaya menggegar palang gol Kelantan pada minit ke-25 disusuli percubaan dalam kotak penalti Rufino Segovia pada minit ke-33 yang bagaimanapun berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Shahrizan Ismail.

Kelantan kendalian Yusri Che Lah sebaliknya berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-35 menerusi jaringan Shafiq Shaharudin berpunca daripada kegagalan barisan pertahanan Selangor menghalang penyerang kebangsaan itu melakukan sepakan dalam kotak penalti yang tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Khairulazhan Khalid.

Pada minit ke-43, Shahrizan yang juga kapten Kelantan sekali lagi bertindak cemerlang menafikan percubaan Rufino dari luar kotak penalti.

Bersambung babak kedua, bagi menambah sengat di jentera depan, Nazliazmi telah membawa masuk Sean Eugene Selvaraj bagi menggantikan Joseph Kalang pada minit ke-57.

Namun Kelantan nyaris berjaya menambah jaringan pada minit ke-63 selepas kesilapan pertahanan import Selangor, Alfonso De La Cruz Calero membuka ruang buat penyerang import Kelantan, Cristiano Santos berdepan satu lawan satu dengan Khairulazhan. Mujur percubaannya sekadar menggegar tiang.

Selangor akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan padu Sean Eugene dalam kotak penalti pada minit ke-78.

Hasrat Selangor untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata tidak kesampaian apabila Danial Ashraf Abdullah berjaya menjaringkan gol kemenangan Kelantan pada minit ke-85 selepas mudah menyudahkan bola lorongan Baktyiar Duishobekov.

Kemenangan itu membolehkan Kelantan memintas Negeri Sembilan di tangga kedua tercorot dengan 14 mata sementara Selangor di tangga kelapan liga dengan 20 mata, tiga mata di belakang Melaka United di tangga ketujuh.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan pasukan tangga kesembilan, Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad ini.

KELANTAN: 1. Shahrizan Ismail (C); 12. Ahmad Haziq Ahmad Puad, 4. Cassio de Jesus, 40. Shahrul Nizam Ros Hasni, 13. Azwan Aripin; 7. Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi (18. Amir Zikri Pauzi 88′), 34. Danial Haqim Draman, 17. Baktyiar Duishobekov, 37. Danial Ashraf Abdullah; 8. Shafiq Shaharudin (32. Nik Azli Nik Alias 58′)(39. Afiq Saluddin 84′), 9. Cristiano Santos.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 5. Amirul Ashraf Ariffin (2. A Namathevan 37′), 13. Razman Roslan, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan; 6. Evan Dimas, 4. Abdul Halim Zainal, 17. Amri Yahyah (C); 12. Azammuddin Akil (18. Ilham Udin Armaiyn 69′), 10. Rufino Segovia, 19. Joseph Kalang Tie (7. Sean Eugene Selvaraj 57′).

Pengadil: Fitri Maskon

error: Content is protected !!