ABK17

Liga Super: Kedah 4 Selangor 0

Selangor mengalami kekalahan keempat berturut selepas tewas 4-0 kepada Kedah pada perlawanan keenam Liga Super 2018 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

Ia sekali gus gagal meneruskan rentak cemerlang dua kemenangan berturut Red Giants pada aksi Piala FA 2018 ke atas Terengganu dan Kuala Lumpur sejak di bawah kendalian jurulatih baharu, Nazliazmi Nasir yang menggantikan P Maniam.

Pada aksi malam tadi, Nazliazmi tidak dapat menurunkan pertahanan import, Willian Pacheco yang menjalani penggantungan perlawanan selepas dibuang padang ketika tewas 3-0 kepada Perak pada perlawanan kelima di Stadium TLDM, Lumut pada 11 Mac lalu.

Selangor bagaimanapun kembali diperkuat ketua pasukan, Razman Roslan yang tidak beraksi ketika mereka menewaskan Kuala Lumpur 3-0 pada suku akhir pertama Piala FA 2018 di Cheras, Sabtu lalu serta Azammuddin Akil yang kembali selepas cedera pada aksi sulung Liga Super 2018 bertemu Kuala Lumpur, 4 Februari lalu.

Namun Kedah tampak lebih bertenaga di bawah kendalian Nidzam Adzha Yusoff yang kembali dilantik sebagai ketua jurulatih menggantikan Ramon Marcote dan berjaya mendahului 1-0 seawal minit keempat menerusi Syazwan Zainon yang menyudahkan hantaran Andik Vermansah dari sebelah kanan.

Menuju waktu rehat separuh masa pertama, Kedah berjaya menambah gol kedua menerusi penyudah Sandro da Silva pada minit ke-45 selepas penyerang import itu melepasi kawalan pemain pertahanan Selangor, Ashmawi Yakin.

Bersambung babak kedua, Selangor cuba memburu gol awal bagi merapatkan kedudukan tetapi percubaan Azammuddin di dalam kotak penalti terbias kaki pertahanan Kedah pada minit ke-53 diikuti sepakan percuma Amri Yahyah dari sebelah kiri yang berjaya ditepis keluar penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-56.

Sebaliknya Kedah berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-65 menerusi jaringan kedua peribadi Sandro yang menyudahkan hantaran Baddrol Bakhtiar dari sebelah kanan.

Kedah terus garang dengan menyumbat gol keempat pada minit ke-83 menerusi satu serangan balas apabila Akram Mahinan berjaya menyudahkan lorongan Sandro dari sebelah kanan untuk menewaskan Norazlan Razali di gawang Selangor.

Keputusan 4-0 itu menyaksikan Selangor turun dua anak tangga ke kedudukan ke-10 dengan enam mata hasil dua kemenangan dan empat kali seri selepas enam perlawanan.

Selangor akan kembali memberi fokus untuk perlawanan suku akhir kedua Piala FA 2018 dengan menanti kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 21 April ini sebelum menyambung saingan Liga Super 2018 bertemu Negeri Sembilan, juga di Cheras pada 28 April.

KEDAH: 25. Ifwat Akmal Chek Kassim; 15. Rizal Ghazali, 4. Alvaro Silva, 15. Khairul Helmi Johari (C), 27. Ariff Farhan Md Isa; 14. Akram Mahinan, 18. Halim Saari (16. Amirul Hisyam Awang Kechik 68′); 30. Andik Vermansah (20. Akhyar Rashid 59′), 7. Baddrol Bakhtiar, 22. Syazwan Zainon (17. Syazwan Tajudin 76′); 10. Sandro da Silva.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 2. A Namathevan, 13. Razman Roslan (C), 15. Ashmawi Yakin (11. Faizzudin Abidin 85′), 3. K Kannan; 17. Amri Yahyah, 4. Abdul Halim Zainal, 6. Evan Dimas; 12. Azammuddin Akil (28. Shahrul Iqwan Samsudin 54′), 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn (30. D Kugan 66′).

Pengadil: Nazmi Nasaruddin

error: Content is protected !!