Selangor berjaya membawa pulang satu mata dari gelanggang lawan selepas seri 1-1 dengan pasukan tangga kedua, Kedah pada perlawanan ke-16 Liga Super 2017 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

Namun, skuad Red Giants kendalian P Maniam itu tergelincir satu anak tangga ke kedudukan kelima liga kerana dipintas Felda United yang berjaya merampas tangga keempat menerusi kemenangan besar 5-1 ke atas T-Team di laman sendiri.

Di Alor Setar, kedua-dua pasukan turun tanpa beberapa tonggak utama dengan Kedah kehilangan penjaga gol utama, Ifwat Akmal Chek Kassim, Syafiq Ahmad, Amirul Hisyam Awang Kechik, Ariff Farhan Md Isa dan Akhyar Rashid yang bersama skuad B-22 kebangsaan serta Fitri Omar dan Akram Mahinan yang digantung perlawanan.

Sementara Selangor pula tanpa kapten Razman Roslan, Andik Vermansah dan Amri Yahyah yang digantung perlawanan serta Adam Nor Azlin dan Syahmi Safari yang bersama skuad B-22 kebangsaan.

Kerancakan permainan bagaimanapun tidak terjejas dengan Selangor menguji seawal minit keenam menerusi gerakan satu dua Francis Forkey Doe dan Rufino Segovia yang menyaksikan percubaan Rufino berjaya diselamatkan penjaga gol Kedah, Farhan Abu Bakar.

Dua minit berselang, giliran Kedah bimbingan Nidzam Adzha Yusoff berpeluang tetapi Ken Ilso Larsen yang berjaya melepasi pertahanan Selangor sekadar menyaksikan percubaannya sipi ke kanan gawang yang dikawal Norazlan Razali.

Selangor akhirnya berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-17 menerusi penyudah kemas S Veenod berpunca sepakan percuma Rufino yang dikeluarkan pertahanan Kedah menuju ke arah Halim Zainal yang bijak melorongkan bola untuk disempurnakan Veenod.

Namun jentera depan Selangor sedikit terjejas apabila Rufino terpaksa dikeluarkan pada minit ke-24 kerana mengalami kecederaan.

Kedah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 menerusi sepakan lencong mengelirukan oleh Larsen dari penjuru tepi kotak penalti selepas menerima bola sepakan sudut pendek daripada Baddrol Bakhtiar untuk mengikat kedudukan 1-1.

Tuan rumah semakin garang selepas itu dengan mendapat dua peluang terbaik untuk menambah jaringan, namun dinafikan kecekapan Norazlan yang menyelamatkan percubaan Syazwan Zainon di depan pintu gol pada minit ke-35 dan sepakan deras Liridon Krasniqi, empat minit kemudian.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling menyerang bagi mendapatkan gol pendahuluan.

Pada minit ke-67, dua percubaan berturut daripada pemain Kedah, Rizal Ghazali berjaya diselamatkan oleh Norazlan.

Bagaimanapun peluang-peluang terhidang selepas itu gagal disudahkan jentera depan kedua-dua pasukan untuk Selangor dan Kedah terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

Selangor akan menanti Kelantan untuk perlawanan ke-17 Liga Super 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Sabtu, 22 Julai ini, namun sebelum itu akan terlebih dahulu melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) di gelanggang sama pada Selasa ini, 18 Julai untuk perlawanan ketiga Kumpulan D saingan Piala Malaysia 2017.

KEDAH: 21. Farhan Abu Bakar; 15. Rizal Ghazali, 13. Khairul Helmi Johari (C), 17. Syazwan Tajudin, 24. Asri Mardzuki; 23. Hanif Mat Dzahir (34. Akmal Azmi 83′), 7. Baddrol Bakhtiar, 8. Liridon Krasniqi, 22. Syazwan Zainon; 10. Sandro Da Silva, 9. Kel Ilso Larsen.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 17. Rizal Fahmi Ab Rosid, 18. Ugochukwu Ukah (C), 26. Fairuz Abdul Aziz; 2. A Namathevan, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 23. S Veenod, 4. Abdul Halim Zainal 15. Raimi Md Nor (3. K Kannan 78′); 10. Francis Forkey Doe, 30. Rufino Segovia (24. Fittri Shazwan Raduwan 24′) (12. Bunyamin Umar 90’+3).

Pengadil: Fitri Maskom