Liga Super: Kedah 1 Selangor 0

Selangor sekali lagi gagal meraih mata selepas tewas 1-0 kepada Kedah pada perlawanan ke-17 Liga Super 2016 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

Jaringan tunggal menerusi tandukan Bang Seung-Hwan pada minit ke-47 sudah cukup untuk membolehkan Kedah yang dibimbing Tan Cheng Hoe kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Selangor di tangga ketiga dengan saingan berbaki lima perlawanan.

Buat Selangor, ini merupakan kekalahan ketiga berturut dalam saingan liga dan secara keseluruhan kekalahan keempat berturut termasuk tewas 1-0 kepada Pahang pada aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 30 Julai lalu.

Pada aksi malam tadi, Selangor terus turun tanpa kelibat kapten, Shahrom Kalam dan pemain sayap, Andik Vermansah yang masih cedera serta Mauro Olivi dan Mohd Hafiz Kamal yang tercedera ketika tewas 1-0 kepada T-Team, Rabu lalu dan juga Ahmad Hazwan Bakri yang menyambut kelahiran cahaya mata sulung.

Kedah ternyata lebih banyak mengasak ke kubu Selangor pada awal babak permainan bermula dengan sepakan percuma Liridon Krasniqi yang sedikit tinggi melewati palang gol Selangor yang dikawal Norazlan Razali pada minit ke-19.

Selangor hanya menguji pada minit ke-22, namun sepakan percuma Nazmi Faiz Mansor yang ditanduk pertahanan import, Ugochukwu Ukah sekadar melambung tinggi dan menggegar jaring atas gawang Kedah.

Pada minit ke-31, bola lorongan Krasniqi yang terbias kaki pertahanan Selangor, Bunyamin Umar hampir menerjah masuk ke gawang Selangor tetapi sempat diselamatkan oleh Norazlan.

Bersambung babak kedua, hanya dua minit diperlukan Kedah untuk memecah kebuntuan selepas sepakan percuma Syazwan Zainon berjaya ditanduk masuk Seung-Hwan untuk gol pendahuluan Kedah.

Selangor sekali lagi cemas pada minit ke-58, mujur Norazlan bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan Syazwan di dalam kotak penalti.

Peluang terbaik Selangor untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-64 selepas pertahanan Kedah melakukan kesilapan untuk membiarkan Patrick Ronaldinho Wleh hanya berdepan penjaga gol, Ifwat Akmal, namun kapten Kedah, Khairul Helmi Johari pantas membuat terjahan kemas sebelum sempat Ronaldinho melepaskan rembatan.

Selepas itu, Selangor terus gagal mencipta peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, sekali gus terpaksa merelakan kekalahan tipis kepada Kedah.

Berbaki lima perlawanan, Johor Darul Ta’zim terus unggul di tangga teratas Liga Super dengan 43 mata diikuti Felda United 39 mata, Selangor 26 mata, Kedah 25 mata dan Kelantan 21 mata untuk lima kedudukan teratas.

Selangor selepas ini akan meneruskan perjuangan dalam saingan Piala Malaysia apabila bakal bertemu Pahang di Stadium Shah Alam, Selasa ini untuk perlawanan keempat Kumpulan B disusuli perlawanan kelima berdepan Kelantan di Kota Bharu, Jumaat ini.

KEDAH: 31. Ifwat Akmal, 27. Ariff Farhan Md Isa (6. Shafizan Hashim 75′), 13. Khairul Helmi Johari (C), 4. Bang Seung-Hwan, 25. Azmeer Yusof (2. Sabre Mat Abu 62′), 7. Baddrol Bakhtiar, 8. Liridon Krasniqi, 16. Amirul Hisyam Awang Kechik, 22. Syazwan Zainon (20. Syafiq Ahmad 74′), 23. Hanif Mat Dzahir, 14. Shane Smeltz.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar (9. Adam Nor Azlin 67′), 18. Ugochukwu Ukah, 13. Razman Roslan (C), 15. Raimi Md Nor, 14. Abdul Hadi Yahaya (31. Faizzudin Abidin 70′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 23. S Veenod, 25. R Gopinathan (17. Rizal Fahmi Rosid 90′), 10. Nazmi Faiz Mansor, 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

Pengadil: Zamzaidi Katimin