Liga Super: JDT 2 Selangor 0

Selangor gagal menambah pungutan mata selepas mencatat kemenangan ketiga ke atas Negeri Sembilan pada Sabtu lalu apabila tewas 2-0 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan kelapan Liga Super 2018 di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Pada perlawanan yang ditunda sehari lewat itu, jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir hanya membuat satu pertukaran dalam kesebelasan utamanya dengan meletakkan pemain pertahanan, Ashmawi Yakin bagi mengisi tempat Amirul Ashraf Ariffin yang mengalami kecederaan pada aksi Sabtu lalu.

Babak pertama permainan menyaksikan Selangor berjaya mengimbangi kekuatan JDT dan memiliki dua peluang terbaik menerusi penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia yang bagaimanapun berjaya dinafikan kecemerlangan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Namun dua gol dihasilkan JDT kendalian Raul Longhi dalam tempoh lapan minit pada pertengahan separuh masa kedua menggagalkan usaha Selangor untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata dari gelanggang lawan.

JDT memperoleh gol pertama pada minit ke-61 apabila Ahmad Hazwan Bakri berjaya melakukan penyudah kemas di depan pintu gol Selangor selepas menerima hantaran Gonzalo Cabrera dari sebelah kiri.

Gol kedua JDT kemudian menyusul pada minit ke-69, kali ini hantaran lintang Safawi Rasid juga dari sebelah kiri berjaya disambar pantas Nazmi Faiz Mansor untuk menewaskan Khairulazhan Khalid di gawang Selangor.

Biarpun cuba bangkit selepas itu, Selangor gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan JDT untuk pulang dengan kekalahan kelima musim ini, sekali gus turun semula dua anak tangga ke kedudukan ke-10 liga dan kekal dengan sembilan mata.

Selepas ini, Selangor akan menanti kunjungan pasukan tangga ketujuh, PKNP FC bagi perlawanan kesembilan Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad ini, 6 Mei 2018 sebelum menerima pula kehadiran JDT bagi perlawanan ke-10 di stadium sama pada 12 Mei 2018.

JOHOR DARUL TA’ZIM: 1. Farizal Marlias; 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 6. Marcos Antonio, 7. Aidil Zafuan Abd Radzak, 22. La’Vere Corbin-Ong; 21. Nazmi Faiz Mansor (8. Safiq Rahim 86′), 14. Hariss Harun (C), 30. Natxo Insa (4. Afiq Fazail 75′); 29. Safawi Rasid (12. S Kunanlan 83′), 9. Ahmad Hazwan Bakri, 11. Gonzalo Cabrera.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 2. A Namathevan (25. Amirul Haziq Rasmizal 68′), 23. Willian Pacheco, 15. Ashmawi Yakin, 3. K Kannan; 17. Amri Yahyah (C), 4. Abdul Halim Zainal (11. Faizzudin Abidin 81′), 16. K Sarkunan; 30. D Kugan (19. Joseph Kalang Tie 64′), 10. Rufino Segovia, 7. Sean Eugene Selvaraj.

Pengadil: Suhaimi Mat Hassan