Liga Super: Felda United 3 Selangor 1

Selangor mengalami kekalahan kelima dalam saingan Liga Super 2017 selepas tewas 3-1 kepada Felda United pada perlawanan ke-18 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi untuk turun satu kedudukan ke tangga kelima ketika saingan berbaki empat perlawanan.

Ia sekali gus turut meleburkan rekod cemerlang tanpa kalah skuad Red Giants kendalian P Maniam itu sepanjang tujuh perlawanan berturut (empat aksi Liga Super dan tiga aksi Piala Malaysia) sejak saingan bersambung selepas Hari Raya Aidilfitri.

Kali terakhir Selangor tewas ialah ketika tunduk 2-0 kepada Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 24 Mei lalu.

Pada aksi malam tadi, Maniam kembali dapat menurunkan dua pemain skuad B-22 kebangsaan, Adam Nor Azlin dan Syahmi Safari, namun kehilangan tiga tonggak termasuk dua pemain import, Rufino Segovia dan Andik Vermansah yang cedera serta Raimi Md Nor yang digantung perlawanan.

Felda United kendalian B Satiananthan berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-40 selepas Thiago Augusto Fernandes menanduk masuk bola sepakan penjuru Alif Yusof untuk menewaskan Khairulazhan Khalid di gawang gol Selangor.

Empat minit berselang, Felda United menggandakan kedudukan 2-0 selepas Ifedayo Olusegun menyudahkan peluang terbuka susulan percubaan awal Norshahrul Idlan Talaha yang berjaya ditepis oleh Khairulazhan.

Namun Selangor berjaya merapatkan kedudukan 2-1 menerusi set piece menarik apabila sepakan percuma pendek Amri Yahyah disudahkan menerusi sepakan deras Francis Forkey Doe untuk menewaskan penjaga gol Felda United, Farizal Harun pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Forkey Doe hampir berjaya menghasilkan gol penyamaan buat Selangor pada minit ke-53 selepas melepasi perangkap ofsaid, namun percubaannya sempat dihadang keluar pertahanan Felda United.

Kedudukan menjadi bertambah sukar buat Selangor selepas Felda United berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-76 menerusi tandukan ketua pasukan, Shukor Adan selepas sepakan percuma Olusegun.

Selangor terus mencuba untuk merapatkan kedudukan, namun keputusan 3-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Berbaki empat perlawanan, juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) terus unggul di tangga teratas dengan 45 mata diikuti Kedah (34), Pahang (30), Felda United (29), Selangor (27) dan Perak (27) untuk enam kedudukan teratas.

Selangor selepas ini akan berdepan JDT di Selayang untuk perlawanan ke-19 pada Sabtu, 5 Ogos, namun terlebih dahulu perlu mengharungi dua perlawanan Piala Malaysia bertemu Terengganu di Kuala Terengganu, Sabtu ini dan Sarawak di Selayang pada Rabu, 2 Ogos.

FELDA UNITED: 30. Farizal Harun; 20. Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman, 2. Dino Djulbic, 12. Shukor Adan (C), 28. Mohd Alif Yusof; 10. Zah Rahan Krangar, 23. Safwan Hashim (25. Ahmad Azriddin Rosli 80′), 29. Curran Singh Ferns; 14. Ifedayo Olusegun (17. Fakhrul Aiman Sidid 82′), 8. Thiago Augusto Fernandes, 9. Norshahrul Idlan Talaha (19. Fazrul Hazli Kadri 74′).

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 9. Adam Nor Azlin; 20. Syahmi Safari, 4. Abdul Halim Zainal (2. A Namathevan 63′), 23. S Veenod (27. Nurshamil Abd Ghani 77′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 3. K Kannan; 10. Francis Forkey Doe, 29. Amri Yahyah (24. Fittri Shazwan Raduwan 55′).

Pengadil: Zulkarnain Zakaria