Liga Super: ATM 1 Selangor 3

Selangor berjaya merampas tangga teratas Liga Super buat pertama kalinya musim ini selepas meraih kemenangan keempat berturut-turut dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Sebelum perlawanan, Selangor di tangga ketiga dengan 11 mata, satu mata di belakang pendahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sama mata dengan pasukan tangga kedua, Perak.

Namun selepas berakhir perlawanan ketujuh, Selangor berkongsi 14 mata dengan FELDA United yang menewaskan PDRM 3-2 di Selayang dan Terengganu yang menundukkan Perak 3-2 di Ipoh tetapi Selangor layak berada di puncak liga berdasarkan kelebihan perbezaan gol.

Di Paroi, Selangor kendalian Mehmet Durakovic berjaya mendahului seawal minit kelapan menerusi penyudah kemas Afiq Azmi yang menerima lorongan baik Andik Vermansah.

ATM bimbingan B Sathianathan yang menghuni tangga kedua tercorot liga bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-25 menerusi sepakan percuma Mario Karlovic yang terbias benteng lalu mengelirukan penjaga gol Selangor, Syamim Othman.

Selangor kemudian terpaksa membuat pertukaran awal pada waktu rehat dengan memasukkan bekas kapten musim lalu, Bunyamin Umar menggantikan pertahanan import, Robert Cornthwaite yang mengalami kecederaan.

Gol kedua Selangor terhasil sekali lagi menerusi Afiq yang memusingkan badannya sebelum melepaskan rembatan di depan pintu gol ATM selepas menerima hantaran daripada Guilherme De Paula pada minit ke-51.

Tiga mata penuh Selangor disahkan menerusi sepakan penalti Leandro dos Santos untuk gol ketiga pada minit ke-71 selepas penjaga gol ATM, Razi Effendi Suhit menjatuhkan Andik.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan wakil Singapura, Lions XII pada perlawanan kelapan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini dan kemudian bakal bertandang ke Kota Bharu untuk bertemu Kelantan, 25 April ini.

ATM: 22. Razi Effendi Suhit, 13. Azreen Zulkafli, 3. Nor Fazly Alias, 4. Obinna Nwaneri (c), 12. Riduwan Maon, 19. Christie Jayaseelan (20. Hairuddin Omar ’76), 8. Affize Faisal Mamat (25. Azmeer Yusof ’73), 23. Mario Karlovic, 15. S Thinagaran (16. Fazrul Hazli Kadri ’58), 10. Abdulafees Abdul Salam, 17. Jerry Palacios.

SELANGOR: 1. Syamim Othman, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 2. Robert Cornthwaite (12. Bunyamin Umar ’46), 17. Rizal Fahmi Rosid (c), 15. Raimi Md Nor, 7. Andik Vermansah, 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor (23. S Veenod ’82), 11. Ahmad Hazwan Bakri, 19. Afiq Azmi (14. Abdul Hadi Yahya ’89), 13. Guilherme De Paula.

Pengadil: Zamzaidi Katimin