Liga Super 2012: Selangor 3 K Lumpur 0

SELANGOR kembali bangkit mempamerkan aksi sebenar apabila berjaya menewaskan pasukan tercorot, Kuala Lumpur 3-0 pada aksi ke-10 saingan Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Terikat tanpa jaringan pada babak pertama, Selangor berjaya menembusi gawang gol Kuala Lumpur sebanyak tiga kali pada babak kedua menerusi Bosko Balaban, P Gunalan dan Amirulhadi Zainal.

Selepas kecewa tewas 0-1 kepada Kedah di Alor Setar dan tersingkir di tangan Johor FC menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi pusingan kedua Piala FA minggu lalu, Selangor turun tanpa tiga tonggak – Ramez Dayoub dan Bunyamin Umar yang digantung perlawanan serta Nasriq Baharom yang cedera pangkal paha.

Namun seawal minit ke-10, Selangor hampir memecah kebuntuan tetapi lambungan Fitri Shazwan Raduwan dari sebelah kiri gagal disudahkan dengan tepat oleh kapten, Amri Yahyah biarpun dia hanya perlu menolak bola ke gawang gol Kuala Lumpur.

Dua minit berselang, Kuala Lumpur pula menghadirkan gerun apabila Stanley Bernard melepaskan rembatan jarak dekat tetapi pantas ditepis keluar penjaga gol Selangor, G Jeevananthan yang tampil beraksi buat kali pertama musim ini selepas Norazlan Razali direhatkan ekoran kesilapan mudahnya ketika bertemu Johor FC.

Pada minit ke-29, Balaban yang menyambut bola hantaran Amri sekadar merembat sipi dan seminit kemudian, ledakan pemain import Kuala Lumpur, Zakaria Charara berjaya ditepis keluar Jeevananthan.

Balaban sekali lagi hampa apabila tandukannya hasil sepakan percuma Safiq Rahim pada masa kecederaan babak pertama berjaya ditampan keluar penjaga gol Kuala Lumpur, Rozaimie Rohim.

Bersambung babak kedua, Selangor tidak perlu menunggu lama apabila berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-56 selepas hantaran lintang Razman Roslan dari sebelah kanan disambar dengan tandukan kemas Balaban.

Empat minit kemudian, Gunalan pula menjaringkan gol kedua apabila melakukan sepakan gunting di hadapan pintu gol Kuala Lumpur selepas menerima lambungan Amri dari sebelah kanan.

Pada minit ke-67, Gunalan mempersiakan peluang menambah jaringan peribadi apabila percubaan jarak dekatnya sipi ke sebelah kiri gawang Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur hampir berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-75, namun Jeevananthan bertindak cemerlang menepis rembatan S Sivaraj dan menghadang pula percubaan susulan Fazuan Abdullah.

Pada masa kecederaan, Amirulhadi berjaya menambah gol ketiga Selangor menerusi ledakan dari luar kotak penalti selepas mendapat bola dari sepakan sudut.

Selangor kini melonjak dua anak tangga ke kedudukan keenam Liga Super dengan 15 mata hasil empat menang, tiga seri dan tiga tewas, hanya lapan mata di belakang pendahulu, Kelantan.

Perlawanan seterusnya, Selangor akan bertemu Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Selasa ini.

SELANGOR: 22. G Jeevananthan, 3. Razman Roslan, 4. Asraruddin Putra Omar, 2.Hasmarul Fadzir Hassan, 15. P Gunalan, 20. Amirulhadi Zainal, 18. Azidan Sarudin, 8. Safiq Rahim (25. Fazilidin Khalid ’90), 24. Fitri Shazwan Raduwan (13. K Gurusamy ’77), 17. Amri Yahyah (c) (7. Adib Aizuddin Latif ‘88), 10. Bosko Balaban.
KUALA LUMPUR: 12. Rozaimie Rohim, 18. Azrul Azmi, 13. Aslam Haja Najumudeen (c), 16. Arman Fareez Mohd Ali, 3. Hishamuddin Othman, 11. Pritam Singh (23. S Sivaraj ‘73), 7. Syafiq Johari, 15. Okinie Emmanuel Ayaah, 17. Zakaria Charara, 9. Afiq Azmi (24. Nur Hakim Adzhar ‘82), 19. Stanley Bernard (20. Fazuan Abdullah ‘69).

Pengadil: Amirul Izwan Yaacob