ABK17

Lagu baharu Red Giants sebulan lagi

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dato’ Sri Subahan Kamal berharap lagu anthem rasmi baharu Red Giants hasil karya MonoloQue dapat menjadi lagu pembangkit semangat para pemain dan penyokong pasukan Selangor selepas ini.

Sebelum ini, lagu Viva Selangor karya KRU telah sekian lama menjadi siualan dan nyanyian semangat para penyokong Red Giants sejak tahun 1990-an dan selepas tempoh lebih 20 tahun, sebuah lagu baharu yang lebih segar dijangka bakal diperdengarkan kepada umum dalam tempoh sebulan lagi.

“Kita dalam proses untuk menyungkil satu lagu baharu. Lagu lama Selangor Red Giants itu memang cukup sinonim dan bermakna pada kami.

“Tapi kami juga berasakan perlu untuk ada satu lagi hasil atau karya daripada MonoloQue yang mungkin akan dapat membangkitkan semula semangat para pemain dan penyokong Selangor.

“Insya-Allah dalam tempoh sebulan ini, MonoloQue akan mengeluarkan satu lagu yang bertemakan semangat untuk pihak FAS dan saya berharap lagu ini akan meninggalkan satu kesan mendalam sampai bila-bila.

“Ia bukan saja akan menjadi lagu bola, jika ada rezeki mungkin ia akan menjadi lagu hits buat MonoloQue dan berkumandang di corong-corong radio,” kata Subahan pada sidang media selepas majlis pra-pelancaran lagu anthem bola sepak Selangor yang baharu di The Curve, Mutiara Damansara, hari ini.

Sementara itu, vokalis utama MonoloQue, Khairil Ridzwan Annuar atau lebih dikenali sebagai Loque berkata, mereka kini dalam proses menganalisis bahan dan konsep bagi lagu athem baharu berkenaan supaya ia dapat menepati citarasa penyokong Red Giants.

“Insya-Allah dalam sebulan lagi siap lagu ini. Sekarang saya masih lagi menganalisis dan mengkaji lagu-lagu lama Merah kuning serta mendalami citarasa penyokong Selangor sendiri dengan mendapatkan maklum balas daripada mereka.

“Saya nak biarlah lagu baharu itu nanti dapat dihadam oleh semua dan bukan hanya untuk orang-orang tertentu. Sebab itulah ia mengambil masa sedikit dan seperti kata Dato’ Sri Subahan, biarlah lagu itu dapat kekal berpanjangan.

“Kalau boleh, saya nak buat lagu yang menggambarkan Selangor. Sebab banyak yang saya tengok dan kaji lagi bola yang lain, banyak lagu yang kita pinjam dari luar dan kemudian kita ambil pakai di sini. Kita perlukan lagu wajah Malaysia.

“Lagu baharu ini karya saya tetapi penyanyinya tak tahu lagi. Mungkin saya akan panggil kawan-kawan sedikit. Nanti kita akan ‘masak’ sama-sama,” kata Loque, anak jati Selangor yang sebelum ini pernah menganggotai kumpulan Butterfingers.

Majlis pra-pelancaran lagu anthem baharu itu turut dihadiri para pemain Selangor yang baru saja pulang dari Kuala Terengganu, pagi ini selepas perlawanan ketiga Liga Super 2018 bertemu Terengganu FC, malam tadi untuk sesi menandatangani autograf bersama para penyokong.

error: Content is protected !!