Khairul tekad pertahan benteng

NEGERI Sembilan pernah dianggap sebagai tanah air sendiri dan negeri itu adalah tempat yang paling banyak berbakti buat diri serta keluarganya dan sepanjang lapan musim beraksi bersama skuad Rusa itu menghadirkan bermacam bentuk kenangan buat Khairul Anuar Baharom.

Semuanya sudah tersimpan rapi di kotak ingatanya tetapi kini majikannya adalah Selangor dan tugas yang perlu dipikul kali ini ialah memastikan tidak ada pemain Negeri Sembilan yang mampu merobek benteng pertahanan Gergasi Merah pada perlawanan Piala Sumbangsih yang bakal berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini.

Memang bukan sesuatu yang mudah buat Khairul Anuar tetapi sebagai pemain yang sudah lama bergelumang dengan arena bola sepak negara, dia sedar siapakah yang lebih perlu diutamakan ketika ini.

“Selangor adalah majikan saya sekarang dan walaupun saya pernah beraksi selama lapan musim bersama Negeri Sembilan, itu tidak bermakna bekas rakan-rakan seperjuangan saya di dalam skuad itu akan mendapat laluan yang mudah. Saya akan mengekang mereka habis-habisan pada perlawanan Piala Sumbangsih nanti.

“Sebagai pemain Selangor, kami mahu Piala Sumbangsih kekal di negeri ini dan itulah juga amanat serta arahan yang diberikan oleh pihak pengurusan kepada semua pemain. Ini adalah sesuatu yang perlu kami patuhi dan sebagai pemain, saya sendiri tidak nampak mengapa kami tidak boleh merealisasikan hasrat pihak pengurusan kami itu,” katanya.

Khairul Anuar Baharom beraksi untuk Negeri Sembilan sejak 1999 hingga 2008 dan hanya pada 2002, dia berhijrah ke Telekom Melaka tetapi untuk tempoh semusim sebelum kembali semula kepangkuan skuad Rusa. Khairul Anuar yang lebih dikenali sebagai ‘Acong’ itu dilamar untuk bersama Selangor sejak musim lalu.

Tahun lalu, Selangor merangkul gelaran Piala Sumbangsih selepas menundukkan Kedah di Alor Setar dan kali ini, mereka bakal mengharungi cabaran serupa di tempat lawan dan menentang musuh yang berlainan.

“Kami pernah membuktikan betapa kami mampu melakar kemenangan di tempat lawan dan contohnya ialah ketika kami menang di Alor Setar musim lalu. Saya yakin kami mampu mengulangi pencapaian itu dan beraksi di tempat lawan bukanlah satu halangan buat kami.

“Kami perlu menang kerana selain mahu mempertahankan Piala Sumbangsih, pemenang perlawanan itu juga akan mendapat tiga mata untuk kedudukan di dalam Liga. Itu adalah sesuatu yang amat penting kepada kami kerana ia akan memberikan momentum yang cukup baik buat mengharungi perlawanan di peringkat liga selepas ini. Kami tidak mahu melepaskan sebarang mata pada perlawanan pertama ini,” katanya.