Kenyataan: Situasi Jurulatih

Kebanyakan penyokong Selangor mungkin telah mendengar desas-desus mengenai jurulatih baru Selangor FA. Pihak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ingin menjelaskan perkara berikut dengan kenyataan rasmi ini.

Mehmet Durakovic telahpun menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Selangor pada bulan September lalu sebagai pengendali skuad Red Giants bagi musim 2019.

Walau bagaimanapun, beberapa hari lalu En. Durakovic telah menghadap Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga merupakan Presiden FAS, untuk menyatakan hasrat beliau untuk terus bersama dengan pasukan Perak FA.

Tuanku Presiden telah mempertimbangkan perkara ini dan bersetuju untuk membatalkan kontrak tersebut mengenangkan En. Durakovic telah banyak berjasa kepada pasukan Selangor sepanjang kerjaya bola sepak beliau.

Seterusnya, pihak pengurusan ingin memberi jaminan kepada semua penyokong setia pasukan Merah Kuning bahawa kami sedang mempertimbangkan calon-calon jurulatih tempatan dan antarabangsa yang terbaik untuk mengendalikan pasukan Selangor bagi Liga Super  musim 2019.

Sebarang perkembangan lanjut mengenai pasukan Selangor akan kami hebahkan di semua platform media kami sebaik sahaja perjanjian dimeterai.

Terima kasih.