Kenyataan Media 9 Oktober 2018 – Dato’ Seri Shahril Mokhtar

KENYATAAN TIDAK TEPAT DIKELUARKAN KONONNYA DATANG DARIPADA AHLI GABUNGAN PERSATUAN BOLASEPAK SELANGOR (FAS)

Saya telah mengambil maklum bahawa terdapatnya kenyataan yang kononnya dikeluarkan daripada ahli gabungan FAS. Kenyataan ini membuat dakwaan-dakwaan yang tidak berasas.

Untuk makluman semua, dakwaan-dakwaan tersebut adalah tidak benar. Sebagai contoh, dua Naib Presiden yang dilantik pada 10 Julai yang lepas, Encik Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon telah menjadi ahli di dalam kelab gabungan yang sah di bawah FAS. Kami mempunyai bukti yang secukupnya untuk menyangkal dakwaan ini.

Tambahan daripada itu, kenyataan yang disebarkan tersebut tidak ditandatangani oleh sesiapa dan tidak mempunyai sebarang sumber. Maka pada itu kami percaya ahli-ahli media akan berpegang kepada prinsip etika yang tertinggi, dan tidak melaporkan dakwaan-dakwaan tidak berasas sebegini.

Malangnya terdapat dalang-dalang di dalam FAS yang hendak menentang usaha-usaha kearah mentransformasikan persatuan kesayangan ramai ini, memecahbelahkan kita dan menjejaskan kestabilan FAS.

Pihak FAS sedang menjalankan siasatan terhadap kenyataan tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap dalang-dalang dibelakangnya.

FAS akan mengeluarkan kenyataan rasmi sebaik sahaja fakta-fakta telah diperoleh.

Dato’ Seri Shahril Mokhtar

Timbalan Presiden FAS