Kenyataan Media 10 Oktober 2018 – Dato’ Seri Shahril Mokhtar

KENYATAAN MEDIA 10 OKTOBER 2018

Kenyataan media ini adalah susulan kepada kenyataan / penafian yang saya keluarkan semalam terhadap dakwaan sesetengah pihak bahawa perlantikan dua Naib Presiden FAS yang dikatakan tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan. Sebenarnya perlantikan tersebut adalah sah kerana mereka telah menjadi ahli di dalam kelab gabungan yang sah di bawah FAS.

Ekoran penafian tersebut dan pencerahan tentang perkara sebenar, kami seterusnya melancarkan siasatan tentang isu ini yang dianggap serius dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada perancangan memajukan bolasepak di Negeri Selangor.

Hasil daripada siasatan awal yang dijalankan, kami amat terkejut kerana menjumpai beberapa perkara diragui. Antaranya adalah:

  1. Daripada perbualan langsung dengan ramai ahli gabungan, kami dapati mereka telah diperdaya oleh sesetengah individu yang memberi maklumat tidak tepat tentang isu perlantikan dua Naib Presiden tersebut. Ia membuatkan mereka terpedaya menyokong saranan tidak bertanggungjawab individu tersebut untuk FAS mengadakan Kongres Luar Biasa.
  2. Kami juga telah mengenal pasti beberapa kes penipuan (fraud) di mana terdapatnya beberapa surat sokongan kepada memorandum (untuk memanggil Kongres Luar Biasa) tersebut sebenarnya tidak ditandatangani oleh penandatangan seolah-olah ianya adalah surat layang semata-mata. Kami memandang serius terhadap perkara ini kerana ia mempunyai unsur-unsur jenayah dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada pihak yang tidak bersalah.
  3. Kebanyakan ahli gabungan rupa-rupanya tidak mengenali individu bernama Roslin bin Shariff yang kononnya menjadi wakil jurucakap yang menghubungi mereka. Kami mengesyaki beliau hanya menjadi boneka yang dipergunakan oleh beberapa dalang di belakang kerja terkutuk ini. DYTM Tuanku Presiden telah memanggil beliau untuk menghadap demi mendapatkan penjelasan yang sebenar tetapi beliau gagal hadir dengan memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Setelah mengetahui fakta-fakta sebenar, ramai daripada ahli gabungan telah menarik balik permintaan dan sokongan untuk mengadakan Kongres Luar Biasa tersebut.

Selain daripada tiga fakta di atas, kami turut menemui beberapa isu lain yang sedang disiasat. Kami akan mengeluarkan kenyataan baru apabila menemui lebih banyak bukti tentang isu-isu lain tersebut.

FAS di bawah naungan Tuanku Presiden, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berpegang tinggi kepada prinsip integriti dan kebenaran.

Pihak kami akan sentiasa berterus terang kepada pihak umum terutamanya penyokong Merah Kuning dan kami akan mengeluarkan lagi kenyataan sekiranya perlu dari masa ke semasa.

 

Dato’ Seri Shahril Mokhtar

Timbalan Presiden FAS

11.15am, 10 Oktober 2018