ABK17

Kejayaan lonjak kredibiliti pembangunan belia Selangor

Kejayaan pasukan Selangor B21 menjulang trofi Piala Presiden 2017 dengan menumpaskan Terengganu 2-1 secara agregat, malam ini membuktikan kejayaan dan meningkatkan kredibiliti program pembangunan belia Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

“Usaha berterusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) begitu teratur, sekaligus bakal memberi keuntungan untuk jangka masa panjang. Matlamat kami adalah melahirkan pemain-pemain yang akan dapat beraksi untuk pasukan utama,” kata Omar Ali, ketua jurulatih Selangor.

Kesinambungan pembangunan pemain turut disifatkan Omar sebagai kunci kejayaan menamatkan kemarau 9 tahun Piala Presiden kali ini.

“Majoriti pemain ialah barisan sama yang menjulang Piala Belia pada 2015, mara ke separuh akhir Piala Presiden selain muncul naib juara Piala Belia musim lalu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada FAS, ibu bapa serta pemain. Ini hadiah untuk negeri Selangor,” tambah Omar.

Selangor tewas tipis 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tetapi dinobatkan selaku juara berdasarkan kelebihan jaringan 2-0 yang diperolehi dari aksi Final 1 di gelanggang sendiri, minggu lalu.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Omar menyifatkan anak-anak buahnya sedikit gugup di babak awal perlawanan sehingga dibolosi menerusi sepakan percuma Haidhir Suhaini pada minit ke-25.

“Saya memperkemaskan kubu pertahanan kerana menjangkakan Terengganu akan datang menyerang untuk memburu gol penyamaan.

“Pemain-pemain saya berjaya mengimbangi rentak terutama dalam separuh masa kedua dan beraksi lebih yakin untuk menangani asakan lawan,” katanya lagi.