Kannan makin bersemangat

Di kalangan lima pemain skuad Piala Presiden yang diberi peluang beraksi bersama skuad utama Selangor setakat ini, pemain sayap, K Kannan pasti dianggap paling bertuah kerana sudah merasai nikmat beraksi selama 168 minit bersama skuad kendalian jurulatih sementara, K Gunalan itu.

Berbanding Muhammad Faizzudin Mohd Abidin, Muhammad Syukri Azman, Badrul Amin Rusalan dan A Namathevan, Kannan paling banyak mendapat minit permainan berbanding empat rakannya itu apabila sudah dua kali diturunkan dalam kesebelasan utama Selangor.

Kannan beraksi penuh 90 minit ketika Selangor seri 1-1 dengan Kuala Lumpur pada aksi terakhir kumpulan Piala Malaysia di Stadium Selayang, 20 Ogos lalu dan beraksi 78 minit ketika Selangor seri 1-1 dengan Sarawak pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching.

Menurut pemain kelahiran Klang itu yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-20 pada 4 Oktober depan, semangatnya kian membara dan keyakinannya semakin meningkat selepas tampil beraksi pada dua perlawanan berkenaan.

“Saya memang berasa cukup bersemangat ketika ini selepas dapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama skuad senior Selangor dalam dua perlawanan berturut-turut.

“Rasa bangga dan berbesar hati jugalah kerana setakat ini dapat melakukan persembahan agak baik dan saya sendiri secara peribadi akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan pasukan kembali mendapatkan rentak kemenangan selepas kami seri dua perlawanan berturut-turut.

“Harapan saya, supaya dapat terus membantu Selangor pada baki saingan musim ini dengan bermain bersungguh-sungguh dan membantu rakan sepasukan lain jika diturunkan lagi oleh jurulatih dengan misi kita untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia serta berusaha menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga,” kata Kannan kepada FASELANGOR.MY.

Selangor akan turun berdepan PKNS FC pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, jam 9 malam ini dan Kannan akui teruja jika sekali lagi dipilih membarisi kesebelasan utama skuad Red Giants itu.

“Sebagai antara pemain muda dalam pasukan, sudah tentu saya perlu menunjukkan bakat yang ada untuk menandingi kehebatan pemain-pemain senior lain termasuk juga pemain-pemain import.

“Untuk itu, saya harus menunjukkan seratus peratus komitmen, kesungguhan dan kemampuan bagi mencerahkan peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama atau mungkin juga dimasukkan sebagai pemain gantian,” jelas pemain berketinggian 173cm itu yang pernah beraksi bersama skuad Harimau Muda C.

Ditanya apakah perbezaan ketara dirasainya sejak menyertai latihan skuad senior berbanding ketika bersama skuad Piala Presiden, Kannan yang juga bekas pelajar SMK Seksyen 11, Shah Alam itu berkata: “Ya, untuk saya memang banyak bezanya terutama dari segi latihan, budaya pasukan, persediaan pasukan termasuk juga layanan dari pihak pengurusan, semuanya berbeza.”