JAWAPAN KEPADA KENYATAAN EXCO SUKAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memahami perasaan gundah Amirudin dengan kebangkitan penyokong RedGiants mengenai isu Stadium Shah Alam. FAS telah menghantar surat permohonan kepada YAB Menteri Besar Selangor pada 18hb Disember, 2017 untuk menggunakan Stadium Shah Alam apabila mendapat maklum bahawa Majlis Bandaraya Shah Alam tidak lagi menguruskan Stadium Shah Alam.

Apabila tiada jawapan, FAS terus berhubung dengan beberapa Pengurus Stadium termasuk Stadium Nasional Bukit Jalil. Pada awalnya sekitar bulan Disember semuanya dilihat berjalan dengan lancar tetapi minggu lepas kita semua telah maklum akan keputusannya.

FAS terus berusaha dan berbincang dengan Pengurus Stadium lain dan InShaaALLAH kita harap akan dapat keputusan yang positif dalam masa terdekat.

FAS berharap Amirudin jangan cuba mengheret DYAM Raja Muda Selangor, Dato’ Haji Hamidin Mohd Amin dan DYAM Tuanku Presiden, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam isu ini. Ini adalah isu tindakan Amirudin yang telah bersandiwara sebagai ‘orang tengah’ antara FAS dan YAB Menteri Besar Selangor dan berpura-pura untuk menyelesaikan isu bolasepak Negeri Selangor.

DYAM Tuanku Presiden FAM telah menyatakan sebab kenapa FAS tidak dibenarkan menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil dan FAS akur dengan keputusan tersebut dan sedang berusaha gigih untuk mendapatkan stadium lain sebelum bermulanya Liga Super 2018. Atau mungkin Amirudin mengetahui sebab yang sebenarnya dan terlibat’?

Exco Sukan Negeri Selangor yang berulang kali memainkan drama yang sama walaupun FAS sudah ‘move on’. Apakah Modus Operandi yang berlaku kepada FAS adalah lebih kurang sama kepada apa yang berlaku kepada Tan Sri Khalid Ibrahim mantan Menteri Besar Selangor iaitu ‘KOMPLOT TERANCANG’?.

FAS telah bergerak dengan sendiri tanpa bantuan dari Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2017. Adakah ini merupakan kelemahan pentadbiran FAS atau beliau iri hati kerana FAS berjaya mengharungi musim 2017 walaupun dalam keadaan yang sukar. Kalau benar pentadbiran FAS lemah maka bagaimana FAS berjaya memperolehi perlesenan kelab AFC dengan jayanya sedangkan beberapa Persatuan lain gagal?

Apakah dakyah yang disampaikan oleh FAS? Adakah kempen yang dijalankan oleh kumpulan kelab-kelab penyokong ketika ini untuk mendapatkan semula Stadium Shah Alam adalah atas arahan FAS? Tidak sama sekali. Usaha tersebut adalah usaha dari penyokong RedGiant sendiri tanpa melibatkan FAS.

FAS menegaskan sekali lagi bahawa FAS tidak pernah menggunakan penyokong RedGiant untuk melancarkan ancaman terhadap Kerajaan Negeri Selangor. Penyokong Selangor RedGiant telah matang dan bijak menilai situasi FAS dan bolasepak Selangor. Satu lagi tuduhan dan propaganda Amirudin.

Jika dilihat dari media sosial FAS, tiada sebarang kenyataan negatif dari FAS mengenai tindakan Kerajaan Negeri Selangor dibawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang ‘peduli rakyat’ terhadap FAS. TIADA. FAS tetap dengan pendirian untuk ‘move on’.

Adakah apabila RedGiant menjuarai Piala Malaysia untuk kali ke 33 adalah atas usaha Kerajaan Negeri Selangor semata-mata tanpa khidmat nasihat dari Exco FAS? Tiada sedikit pun jasa FAS dalam kejuaraan tersebut? Apabila pasukan berjaya maka ahli politik tertentu mendabik dada. Tetapi apabila tahun 2016, pasukan tidak menunjukkan prestasi yang baik, Setiausaha Agung dan Bendahari perlu melepaskan jawatan atas alasan Exco Sukan Negeri Selangor kena ikut arahan Setiausaha Agung dan Bendahari dalam membuat keputusan di dalam FAS. Adakah Exco Sukan Negeri begitu lemah sehingga perlu mengikut telunjuk Setiausaha Agung dan Bendahari FAS?

Masih lagi dengan drama Mesyuarat Exco FAS? Diulang-ulang agar peminat RedGiant akan mengatakan Exco FAS biadap? Apakah yang berlaku? Walaupun perkara mengenai Setiausaha Agung dan Bendahari ada di agenda kelima, jika majoriti Exco meminta sesuatu agenda dibincangkan lebih awal maka agenda tersebut perlu dibincangkan. Ini adalah Persatuan yang mempunyai peraturan nya tersendiri. Exco FAS hanya ingin mengetahui sebab kenapa Setiausaha Agung dan Bendahari dipaksa melepaskan jawatan.

Exco FAS memohon dengan tertib supaya agenda tersebut dibincangkan terlebih dahulu, namun ugutan dari YAB Menteri Besar Selangor bahawa beliau tidak akan memberikan dana jika Exco FAS mahu mengekalkan Setiausaha Agung dan Bendahari adalah titik tolak dalam tindakan ‘walkout’ tersebut.

Dari mana Amirudin dapat maklumat apa yang berlaku di dalam FAS pada tahun 2004 hingga 2006? FAS yang mencadangkan perkara yang sama diambil untuk menyelesaikan isu bolasepak Selangor. Lebih dari tiga perjumpaan FAS dan Amirudin untuk menyelesaikan kemelut ini. FAS mencadangkan supaya Exco Sukan Negeri Selangor menguruskan pasukan Liga Super Selangor secara mutlak termasuk pasukan Piala Presiden dan Piala Belia. FAS akan hanya menumpukan kepada pembangunan Pengadil, Jurulatih dan menguruskan Liga Domestik FAS. Cadangan tersebut mendapat persetujuan daripada Amirudin tetapi tiada maklumbalas dari pihak Kerajaan Negeri. Siapa yang angkuh dan ego untuk menyelesaikan isu bolasepak Selangor? Adakah Amirudin hanya berdiam diri tanpa cuba memaklumkan kepada YAB Menteri Besar’? Apakah permainan Amirudin? Matlamat FAS, menyelamatkan pasukan bolasepak Selangor adalah keutamaan.

Memang benar, Kerajaan Negeri Selangor memberikan bajet kepada FAS dan RM23 juta adalah bajet pada tahun 2016. Bajet dan perbelanjaan pasukan Selangor ditentukan oleh siapa jika bukan Exco Sukan Negeri Selangor merangkap Pengurus Pasukan yang dilantik oleh YAB Menteri Besar sebagai wakil beliau didalam FAS. Tidak mungkin Setiausaha Agung dan Bendahari. Malah Pengurus Pasukan dan Penolong Pengurus pasukan menerima bonus kemenangan bersama-sama dengan pegawai dan pemain. Dari RM23 juta tersebut, hanya RM13.8 juta disalurkan kepada FAS. Sehingga sekarang, Amirudin dan YAB Menteri Besar Selangor masih berhutang bayaran bonus kepada pemain yang mereka janjikan jika pasukan layak ke Final Piala Malaysia 2016. Juga berhutang gaji November, 2016 kepada FAS.

Piala Sultan Selangor (PSS) sentiasa menjadi kebanggaan FAS dan untuk makluman Amirudin, FAS melalui surat bertarikh 12hb April, 2017 kepada Pengerusi, Jawatankuasa Pengelola PSS tidak menolak untuk melepaskan pemain pasukan Selangor. Malangnya sehingga hari pertandingan Piala Sultan Selangor di Singapura, tiada maklumbalas dari Pengelola. Malah FAS tidak pernah dijemput di dalam apa jua majlis Piala Sultan Selangor 2017. Mungkin ada arahan dari pihak ‘atasan’ supaya tidak memanggil pemain pasukan Selangor? Mungkin tiada dana dari Kerajaan Negeri Selangorjika mengambil pemain pasukan Selangor?

Kerajaan Negeri sedia berunding’? Harap Amirudin bertanyalah pejabat YAB Menteri Besar mengenai Exco FAS memohon untuk bertemu dengan YAB Menteri Besar. Tanyalah. Sehinggakan semalam, Naib Presiden FAS, Encik K. Palanisamy perlu menunggu YAB Menteri Besar Selangor di mahkamah untuk berjumpa dengan beliau. Tetapi apa jawapan yang diterima dari beliau ialah ‘jumpa Amirudin’.

Tahun 2015 dan 2016 semasa FAS diterajui oieh YAB Menteri Besar Selangor dan Exco Sukan Negeri Selangor dan terang-terang FAS dikuasai oleh orang politik. Kenapa ketika itu ianya bukan menjadi isu tetapi sekarang ianya adalah satu ‘dosa’. Tetapi, siapa dikalangan Exco FAS kini yang menjawat jawatan penting di dalam parti politik? Siapa?

Mungkin Amirudin kecewa sebab tidak dapat merealisasikan agenda politik beliau di dalam FAS.

FAS ingin bertanyakan Kerajaan Negeri Selangor mengenai Kompleks Sukan FAS di U15, Puncak Alam yang diambil dari FAS. Kompleks Sukan tersebut dibina oleh Yayasan FAS untuk FAS bagi menggantikan Kompleks Sukan FAS di Kelana Jaya yang telah dibangunkan secara komersil oieh Yayasan FAS.

Bagaimana pula dengan isu pemecatan Ketua Jurulatih yang tidak mengikut prosidur dan melalui kenyataan dari Facebook sahaja dan FAS perlu menanggung bayaran pampasan kepada beliau?

Hampir terlupa pula isu penubuhan Red Giants Sdn Bhd di mana Lembaga Pengarah nya adalah Amirudin dan sahabat karibnya.

Kepada Penyokong Selangor RedGiant, pada tahun 2018 ini, pasukan Selangor membariskan pasukan yang bertenaga dan menarik untuk penyokong dan rakyat Selangor yang setia. Harap semua akan bersama-sama hadir ke stadium walau di mana pasukan Selangor akan bermain oleh kerana FAS akan sentiasa menjadi Selangor RedGiant.

ROSMAN BIN MOHD IBRAHIM
SETIAUSAHA AGUNG
PERSATUAN BOLASEPAK SELANGOR