Impian besar Satish

Ketiadaan beberapa pemain utama dalam siri persiapan pra-musim Selangor seakan memberi tuah kepada pemain Piala Presiden Selangor, K Satish.

Tanpa kelibat ramai pemain penyerang dan tengah menyerang seperti Ahmad Hazwan Bakri, Thamil Arasu, Andik Vermansah dan Paulo Rangel di atas sebab berbeza membolehkan Satish, 19, dipanggil menyertai latihan skuad senior Gergasi Merah.

Biarpun hanya ‘dipinjamkan’, prestasi memberangsangkan Satish ketika latihan nyata menarik perhatian jurulatih, Mehmet Durakovic yang menamakan beliau di dalam pasukan Selangor yang terbang ke Australia untuk sesi persiapan pra-musim.

“Bagi seorang yang begitu muda, dia (Satish) tidak gopoh di dalam mengawal bola di samping kepantasannya yang memberikan kelebihan ketika berhadapan lawan dalam situasi serangan balas,” jelas Durakovic.

Satish turut mendapat pujian bekas jurulatihnya dalam skuad Piala Presiden Selangor musim 2012, Rosedy Mohd Nadzir.

“Beliau seorang yang berbakat, mempunyai penyudah yang baik, rajin dan sentiasa ingin belajar”, jelas Rosedy.

“Namun Satish perlu mempertingkat kemampuan fizikalnya untuk berjaya di peringkat tertinggi.”

Walaupun berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan, anak muda kelahiran Kuala Selangor ini mengimpikan hasrat yang lebih tinggi.

“Saya berharap untuk merebut tempat di dalam kesebelasan utama Merah Kuning,” kata Satish yang telah dua tahun beraksi bersama skuad Piala Presiden.

“Saya berjanji akan menggunakan peluang yang diberi dan mempersembahkan yang terbaik untuk memberi cabaran kepada pemain-pemain yang lebih senior.”