ABK17

Final Piala FA 2018: Selangor 0 Pahang 2

Juara lima kali, Selangor gagal menambah koleksi kejuaraan kali keenam selepas tewas 2-0 kepada Pahang pada Final Piala FA 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi menerusi jaringan Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-23 dan sepakan penalti Patrick Cruz minit ke-62.

Kekalahan itu menyaksikan Selangor kendalian Nazliazmi Nasir terlepas peluang untuk meraih slot automatik ke Pusingan Kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2019 selaku juara Piala FA.

Sementara Pahang kendalian Dollah Salleh yang tewas kepada Kedah pada final musim lalu kini naik ke tangga ketiga dalam senarai pemenang terbanyak Piala FA selepas 29 edisi sejak 1990 yang masih diungguli Selangor dengan lima kejuaraan diikuti Kedah (4) serta Pahang dan Kuala Lumpur (3).

Pada aksi malam tadi, Nazliazmi mengekalkan kesebelasan sama ketika menyingkirkan PKNS FC pada separuh akhir kecuali terpaksa mengetepikan pertahanan import, Willian Pacheco yang cedera dan tempatnya diisi Razman Roslan.

Pahang terlebih dahulu menguji benteng Selangor pada minit ke-12, namun percubaan tepat Austin Amutu selepas menerima lorongan Mohamadou Sumareh sedikit terbias keluar selepas terkena badan pertahanan import Selangor, Alfonso De La Cruz Calero.

Gol pertama Pahang akhirnya menjelma pada minit ke-23 menerusi rembatan padu Nor Azam dari luar kotak penalti selepas pemain Selangor, D Kugan sedikit lewat untuk mengeluarkan hantaran lintang Sumareh daripada kawasan bahaya.

Pahang kemudian nyaris menambah jaringan pada minit ke-37, mujur tandukan Safuwan Baharudin selepas sepakan sudut berjaya ditepis keluar penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Pada masa kecederaan babak pertama, Selangor mencemaskan gawang Pahang, namun tandukan Alfonso selepas sepakan sudut berjaya dikeluarkan Safuwan di depan pintu gol manakala percubaan susulan K Kannan dari luar kotak penalti berjaya didakap kemas penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias.

Bersambung babak kedua, Selangor terus berusaha untuk memburu gol penyamaan dan pada minit ke-57, tandukan ke belakang Rufino Segovia cuba disambar Ilham Udin Armaiyn, namun percubaannya sedikit tersasar selepas Helmi Eliza pantas menutup ruang.

Sebaliknya Pahang pula berjaya menambah gol kedua menerusi sepakan penalti Cruz pada minit ke-62 selepas Alfonso menjatuhkan Amutu.

Selangor terus berusaha untuk bangkit selepas itu, namun terus gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan Pahang termasuk percubaan pemain gantian, Evan Dimas pada masa kecederaan yang berjaya juga ditepis Helmi Eliza.

Selangor selepas ini akan meneruskan baki saingan Liga Super 2018 bertemu Kelantan bagi perlawanan ke-18 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Rabu ini.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 5. Amirul Ashraf Ariffin, 13. Razman Roslan, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan (19. Joseph Kalang Tie 89′); 17. Amri Yahyah (C), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 20. Syahmi Safari (12. Azammuddin Akil 71′); 30. D Kugan (6. D Kugan 57′), 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn.

PAHANG: 1. Helmi Eliza Elias; 2. Matthew Davies (C), 24. Muslim Ahmad, 12. Bunyamin Umar, 14. Faisal Rosli (16. Zubir Azmi 87′); 26. Mohamadou Sumareh (7. Faisal Abdul Halim 89′), 20. Nor Azam Abdul Azih, 21. Safuwan Baharudin, 9. Norshahrul Idlan Talaha; 29. Austin Amutu, 10. Patrick Cruz (8. Wan Zaharulnizam Wan Zakaria 72′).

Pengadil: Zulkarnain Zakaria

error: Content is protected !!