ABK17

FAS setuju syarat ‘lepas’ Evan Dimas, Ilham Udin

Pertemuan antara Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dato’ Sri Subahan Kamal dan Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Edy Rahmayadi di Jakarta, semalam telah mencapai keputusan positif iaitu Evan Dimas, 23, dan Ilham Udin, 22, dibenarkan menyertai pasukan Selangor.
Edy akhirnya memberi lampu hijau untuk kedua-dua pemain kebangsaan Indonesia dari kelab Bhayangkara FC itu terbang ke Malaysia untuk mula menyertai latihan pramusim skuad Red Giants selepas Subahan bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan pemimpin tertinggi bola sepak Indonesia itu.
“Kami di FAS bersetuju untuk mengikuti sebarang arahan daripada Presiden PSSI berhubung penyesuaian jadual dan tempoh pelepasan bagi kem latihan pusat skuad kebangsaan Indonesia terutama skuad B-23 mereka bagi persiapan menghadapi Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Ogos depan.
“Saya juga berterima kasih kepada Edy Rahmayadi kerana sudi menerima kunjungan saya ini bagi membincangkan serta menyelesaikan masalah membabitkan kedua-dua pemain ini,” kata Subahan.
Isu timbul sebelum ini apabila Edy Rahmayadi membuat kenyataan melarang pemain Indonesia beraksi di liga luar, sekali gus kedua-dua pemain import baharu Selangor itu tidak dapat melapor diri untuk latihan kendalian ketua jurulatih Selangor, P Maniam biarpun sudah menandatangani kontrak.
Namun Edy Rahmayadi selepas mencapai persetujuan dengan Subahan, semalam berkata: “PSSI berterima kasih atas kunjungan dan persetujuan daripada FAS yang memahami pentingnya persiapan skuad B-23 Indonesia bagi menghadapi Sukan Asia 2018 selaku tuan rumah.”
Evan dan Ilham dijangka tiba di Malaysia pada Jumaat (5 Januari) sementara seorang lagi import baharu Selangor, Willian Pacheco, 26, dari Brazil yang beraksi bersama Persija Jakarta musim lalu akan tiba pada Ahad ini.
Selangor hanya mengekalkan seorang pemain import musim lalu iaitu penyerang dari Sepanyol, Rufino Segovia, 33, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2018 bermula 3 Februari depan. (FASELANGOR.MY)