ABK17

Evan Dimas: Jaringan peribadi tak penting

Pemain tengah import Selangor dari Indonesia, Evan Dimas tidak mahu terlalu memikirkan soal jaringan peribadi, sebaliknya lebih mengutamakan kemenangan pasukan selepas dia berjaya menjaringkan gol kemenangan Selangor ketika menewaskan PKNS FC 2-1, malam tadi.

Pada aksi ke-14 Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, larian solo Evan dari bulatan tengah padang menerusi satu serangan balas disudahkan dengan rembatan leret di hadapan kotak penalti yang berjaya menewaskan penjaga gol PKNS FC, Shahril Saa’ri pada minit ke-60.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana dengan pertolongan-Nya saya berjaya meneruskan rentak jaringan gol untuk dua perlawanan berturut.

“Terima kasih kepada para pegawai pasukan dan juga rakan-rakan sepasukan lain kerana tanpa bantuan dan kerjasama baik daripada mereka, saya mungkin tidak dapat untuk menjaringkan gol.

“Apa pun yang penting bagi saya bukanlah jaringan gol peribadi tetapi menghadiahkan kemenangan kepada pasukan,” kata Evan pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Pemain berusia 23 tahun itu baru musim sulung bersama Selangor tahun ini dan masih belum memikirkan soal hala tujunya sama ada akan terus dikekalkan untuk menyarung jersi Red Giants musim depan.

“Belum pasti lagi. Saya mahu fokus kepada pertandingan musim ini terlebih dahulu. Jika kita terlalu fikir terlalu jauh, nanti kita tak dapat nak fokus apa yang berada di hadapan kita ketika ini.

“Jadi buat masa ini, fokus saya hanya untuk menghadapi perlawanan demi perlawanan yang bakal dihadapi selepas ini. Saya sendiri bertekad untuk terus berusaha memperbaiki prestasi diri dan memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan Selangor,” jelas Evan.