Bantu Wira Kita – Fareed Shah

Sewaktu Selangor menjulang Piala Malaysia buat kali ke-31 pada tahun 2002, Mohd Fareed Shah Hassan merupakan salah seorang tonggak penting The Red Giants dalam kemenangan 1-0 keatas pasukan Sabah.

Fareed yang merupakan sebahagian dari kesebelasan skuad Selangor pada awal tahun 2000-an juga telah menjaringkan sebanyak 6 gol pada musim yang sama.

Karier bola sepak professional beliau bermula setelah  beliau terpilih mewakili negeri ini untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 1998 yang menyaksikan beliau berjaya membawa pulang pingat emas buat warga Selangor.

Pada tahun 2000, Fareed telah menyertai pasukan Sabah, sebelum berkelana bersama skuad Pulau Pinang selepas semusim. Fareed nyata cemerlang apabila berjaya membantu skuad Harimau Kumbang muncul juara Liga Perdana 1 pada tahun 2001.

Sekembalinya ke Selangor pada musim 2002, beliau telah membantu skuad The Red Giants yang menewaskan Sabah di final Piala Malaysia. Fareed kemudiannya meneruskan karier beliau pada musim-musim berikutnya dengan berpindah ke Public Bank FC, PKNS FC dan seterusnya mengikat kontrak dengan Proton FC pada musim 2008.

FAREED TERLANTAR

Perkhabaran terbaru yang kami terima melalui perbualan telefon bersama bekas pemain Selangor ini amat menyedihkan. Baru-baru ini beliau telah mengalami usus pecah dan telah di masukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Beliau yang sedang memerlukan bantuan kewangan, masih berada dalam proses pemulihan. Kami di Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mendoakan agar Fareed cepat sembuh dan terus menjadi sebahagian dari industri bola sepak tanah air kita.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan sumbangan, anda boleh menyalurkan bantuan terus ke akaun berikut:

1641 6503 9896 – Mohd Fareed Shah – Maybank

Sumbangan tuan puan amat di hargai. #SelangorSelamanya