Pemain import dari Indonesia, Andik Vermansah ternyata sudah tidak sabar untuk membuat penampilan semula bersama Selangor pada perlawanan ke-13 Liga Super 2017 bertemu Pahang di gelanggang sendiri pada 24 Mei ini.

Final Piala Malaysia 2016 pada 30 Oktober lalu yang menyaksikan Selangor gagal mempertahankan kejuaraan apabila tewas penentuan sepakan penalti 6-5 kepada Kedah di Stadium Shah Alam merupakan aksi terakhir Andik bersama Selangor.

Andik, 26, kemudian mengalami kecederaan lutut ketika beraksi bersama pasukan Indonesia pada Piala Suzuki AFF 2016 dan disebabkan memerlukan tempoh panjang untuk pulih, dia tidak didaftarkan Selangor pada awal musim 2017 dan hanya kembali pada perpindahan kedua yang dibuka Isnin lalu.

“Terlebih dahulu, ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan, rakan sepasukan, penyokong yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya, sekali gus membuatkan saya begitu teruja dan bersemangat untuk kembali menyarung jersi Selangor pada baki saingan musim ini.

“Alhamdulillah, selepas kembali daripada rehat empat bulan akibat kecederaan, saya sudah mendapatkan semula keserasian bersama rakan sepasukan.

“Tak rasa pun macam orang baharu pun, macam orang lama saja,” kata Andik ketika ditemui selepas aksi persahabatan bertemu MISC-MIFA di USIM, Nilai, petang semalam.

Andik bagaimanapun masih berasakan dirinya belum seratus peratus cergas dan berharap tempoh rehat panjang liga sepanjang Ramadan mampu mempersiapkan dirinya mengharungi jadual padat Liga Super dan Piala Malaysia selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Saya masih menjalani latihan tambahan bersama penolong jurulatih kerana keadaan fizikal saya masih lagi kurang iaitu hanya mencapai 90 peratus ketika ini. Harap sepanjang bulan Ramadan nanti, ia akan mencapai tahap terbaik.

“Apa pun saya sudah tidak sabar untuk turun beraksi pada penampilan pertama bersama Selangor musim ini berdepan Pahang pada 24 Mei. Saya merindui para penyokong Selangor,” jelas Andik.

Ditanya mengenai kehadiran semula Amri Yahyah menyarung jersi Selangor, Andik berkata: “Amri seorang pemain yang bagus. Nama besar di Malaysia dan Selangor. Jadi saya bangga kerana ini kali bersama saya dapat bermain sama pasukan dengan Amri.”