Selepas tiga setengah musim meninggalkan Selangor, Amri Yahyah kembali menyarung jersi Red Giants untuk baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini apabila namanya sah didaftarkan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), hari ini.

Amri, 36, yang membuat penampilan sulung bersama skuad utama Selangor pada tahun 2001 telah berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2014 untuk tiga musim sebelum menyertai pula Melaka pada awal musim 2017.

Namun atas usaha Presiden FAS, Dato’ Sri Subahan Kamal, pemain berasal dari Tanjung Karang itu berjaya dipancing untuk memperkasa barisan Red Giants mengharungi baki saingan musim ini selepas pintu perpindahan kedua dibuka bermula Isnin lalu.

“Mungkin ini rezeki saya dapat kembali bersama bekas rakan sepasukan di Selangor ini dan juga pihak pengurusan. Insya-Allah saya harap dapat membantu Selangor menduduki tempat terbaik pada baki saingan Liga Super musim ini.

“Kembalinya saya ke Selangor ini adalah atas usaha gigih Presiden FAS kerana beliau bersungguh-sungguh berusaha untuk mendapatkan saya semula,” kata Amri ketika ditemui selepas aksi persahabatan menentang MISC-MIFA di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, petang tadi.

Amri bagaimanapun tidak akan menyarung jersi keramat nombor 17 yang menjadi miliknya sebelum ini kerana nombor berkenaan sedang diguna pakai pemain pertahanan, Rizal Fahmi Ab Rosid dan nombor 29 menjadi pilihan Amri untuk baki saingan 2017 bersama Selangor.

“Saya harap kembalinya saya ke Selangor ini bukan untuk ‘merosakkan’ pasukan tetapi saya harap pasukan akan lebih bersemangat untuk menghadapi perlawanan-perlawanan yang akan datang.

“Insya-Allah dengan bantuan rakan-rakan sepasukan, saya mampu untuk memberikan yang terbaik buat Selangor dan membantu mana-mana pemain muda meningkatkan prestasi mereka untuk kebaikan pasukan,” jelas Amri.

Seperkara lagi yang ditagih Amri sekembalinya menyertai pasukan Selangor ialah untuk melihat lautan penyokong Merah Kuning kembali memenuhi segenap sudut stadium setiap kali Selangor beraksi di gelanggang sendiri.

“Saya harap penyokong Selangor akan datang ke stadium untuk memberikan sokongan. Kita kena beri semangat untuk pasukan Selangor. Sepanjang beraksi bersama Selangor sebelum ini, kehadiran penyokonglah yang memberikan semangat untuk kami sebagai pemain beraksi dengan lebih baik,” ujarnya.

Biarpun sudah mencecah usia 36 tahun pada tahun ini, Amri seakan tidak mahu menganggap musim 2017 sebagai musim terakhirnya bersama Selangor.

“Itu terpulang kepada prestasi saya, tengok sejauh mana saya mampu terus beraksi dan memberikan sumbangan. Saya tak dapat nak beritahu bila saya akan bersara. Tunggulah masa yang akan menentukannya,” kata Amri.

Amri dijangka membuat penampilan sulung bersama Selangor musim ini pada perlawanan ke-13 Liga Super bertemu Pahang di gelanggang sendiri pada 24 Mei ini.