Amri: Jangan cepat berpuas hati

Kapten Selangor, Amri Yahyah tidak mahu rakan sepasukannya terlalu berpuas hati dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Kelantan pada perlawanan ke-13 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi, sebaliknya terus fokus dalam misi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super 2018.

“Semua pemain telah memberikan komitmen yang tinggi pada malam ini dan mengikut taktikal yang diatur jurulatih sebelum perlawanan.

“Tapi saya tetap mengingatkan kepada rakan sepasukan supaya jangan cepat berpuas hati dengan kemenangan pada malam ini kerana perjalanan Selangor masih lagi jauh untuk mengharungi baki saingan musim ini.

“Kita masih ada dua baki perlawanan sepanjang Ramadan ini dan saya harap momentum dan persembahan baik ini dapat diteruskan pada dua aksi berturut bertemu PKNS FC pada 6 dan 10 Jun nanti,” kata Amri pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Diminta mengulas mengenai berita Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah bakal menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baharu, Amri berharap kehadiran baginda akan dapat memberikan nafas baharu kepada pasukan Selangor.

“Saya tak boleh nak komen lebih kerana ini adalah urusan pihak pengurusan dan tugas kami sebagai pemain adalah melakukan kerja di atas padang sebagai pemain bola sepak serta memberikan sesuatu kepada pasukan.

“Apa pun secara peribadi, saya berpendapat kehadiran baginda akan memberikan satu semangat baharu kepada pasukan Selangor dan insya-Allah akan ada satu pembaharuan daripada baginda.

“Harap para pemain akan terus memberikan komitmen penuh kepada pasukan Selangor,” jelas Amri.