ABK17

Amri: Guna pemain muda bukan alasan

Pemain paling senior dalam pasukan Selangor, Amri Yahyah mahu para pemain muda dalam skuad Red Giants perlu memiliki lebih berjiwa besar dan tidak terus menjadikan kekurangan pengalaman di pentas Liga Super sebagai alasan setiap kali mereka mengalami kekalahan.

Selepas 11 perlawanan Liga Super 2018, Selangor yang dibarisi ramai pemain muda musim ini menduduki tangga kesembilan daripada 12 pasukan dengan mengumpul 11 mata menerusi tiga kemenangan, dua seri dan enam kekalahan termasuk tewas 2-1 kepada Kedah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

“Memang benar kita menggunakan ramai pemain muda musim ini tetapi itu bukan alasan untuk mengatakan yang mereka ini tiada pengalaman.

“Realitinya kita perlu menggunakan pemain-pemain yang ada ini kerana walaupun kita dibarisi juga beberapa pemain senior dan berpengalaman, namun faktor kecederaan dan penggantungan pemain perlu diambil kira.

“Dan mungkin pemain-pemain muda yang kita ada ini mengalami kejutan apabila saingan Liga Super yang diharungi mereka musim ini agak jauh berbeza dengan saingan Piala Presiden yang mereka beraksi sebelum ini,” kata Amri pada sidang media selepas perlawanan.

Justeru, Amri yang sudah mencecah usia 37 tahun dan diberi tanggungjawab selaku kapten andai Razman Roslan tidak beraksi menggesa rakan-rakan sepasukannya untuk terus berjuang memberikan yang terbaik pada baki aksi musim ini bagi memperbaiki kedudukan Selangor dalam saingan Liga Super.

“Jadi saya harap ini bukan alasan buat pemain Selangor untuk mengatakan yang kita dibarisi pemain muda yang kurang berpengalaman setiap kali kita mengalami kekalahan.

“Kita perlu sedar yang setiap pasukan yang bertemu Selangor mahukan kemenangan, itu saja. Selangor sebuah nama yang besar dan sesiapa yang bermain untuk pasukan Selangor perlu memberikan yang terbaik. Sesiapa yang tak boleh main, duduk luar,” tegas Amri.