Amirul Ashraf mahu Piala FA 2018 milik Selangor

Pemain pertahanan muda Selangor, Amirul Ashraf Ariffin berkeyakinan tinggi untuk membantu skuad Red Giants itu menjulang trofi Piala FA 2018 pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini berdepan sama ada PKNP FC atau Pahang.

Selepas lebih kerap diturunkan untuk saingan Piala Presiden musim lalu, Amirul Ashraf, 20, mula beraksi ketika Selangor tewas 2-1 kepada Kedah pada aksi Liga Super 2018 di Cheras, 26 Mei lalu apabila dia bergandingan dengan Alfonso De La Cruz Calero berikutan pertahanan tengah, Willian Pacheco digantung perlawanan.

Sekembalinya Pacheco selepas itu, Amirul Ashraf dikekalkan dalam kesebelasan utama, namun diletakkan pula di posisi pertahanan kanan dan terus merampas posisi berkenaan daripada A Namathevan untuk tujuh perlawanan berturut, tanpa sebarang kekalahan.

“Bagi saya, ini peluang terbaik untuk saya. Pada usia muda sebegini, bukan mudah untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, lebih-lebih lagi pasukan yang penuh bersejarah seperti Selangor ini.

“Saya akan menggunakan peluang diberi ini untuk terus menimba ilmu. Dengan usia yang masih muda ini, saya perlu untuk lebih konsisten bagi menghadapi perlawanan-perlawanan yang akan datang,” kata Amirul Ashraf pada sidang media selepas aksi separuh akhir kedua Piala FA 2018 bertemu PKNS FC di Stadium Shah Alam, malam tadi yang berkesudahan seri 1-1.

Musim lalu, Amirul Ashraf berjaya membantu skuad B-21 Selangor muncul juara Piala Presiden menewaskan Terengganu menerusi agregat 2-1 di pentas final secara timbal balik dan kini beliau berhajat membawa skuad senior Selangor pula menjuarai Piala FA buat kali keenam selepas menyingkirkan PKNS FC menerusi agregat 5-1.

“Walaupun saya didaftarkan sebagai pemain skuad Liga Super Selangor musim lalu, tapi saya lebih kerap diturunkan bersama skuad Piala Presiden bagi mendapatkan lebih perlawanan.

“Piala Presiden telah dimenangi musim lalu dan insya-Allah kalau diberikan rezeki, Piala FA musim ini bakal menjadi milik Selangor.

“Ini kerana dalam pasukan Selangor musim ini, tiada istilah senior atau junior ketika di atas padang. Kami akan bekerjasama antara satu sama lain dan bangkit bersama-sama bila pasukan ketinggalan.

“Kami sebagai pemain junior juga perlu meningkatkan lagi kesungguhan bagi menampung pemain yang sudah senior. Lagipun dalam dua atau tiga tahun akan datang ini, pemain-pemain muda inilah yang akan terus menunjangi pasukan Selangor,” jelas Amirul Ashraf.