ABK17

22 pemain tampil hari pertama latihan

Hari pertama sesi latihan pramusim skuad Liga Super Selangor untuk musim 2018 di Shah Alam, petang tadi menyaksikan kelibat seramai 22 pemain turun menjalani latihan indoor selama lebih sejam.

Seramai 12 pemain musim 2017 hadir terdiri daripada dua penjaga gol iaitu Khairulazhan Khalid dan Norazlan Razali serta sepuluh pemain lain iaitu Razman Roslan, Amri Yahyah, Saiful Ridzuwan Selamat, Halim Zainal, Fairuz Abd Aziz, Namathevan Arunasalam, Kannan Kalaiselvan, Sarkunan Krishnansamy, Faizzudin Abidin dan Amirul Ashraf Ariffin.

Sementara enam pemain dari skuad B21 yang menjuarai Piala Presiden 2017 telah dinaikkan pangkat ke skuad utama 2018 iaitu Syukri Azman, Amirul Haziq Rasmizal, Tamil Maran Manimaran, Kugan Dhevarajan, Azizul Baharuddin serta penjaga gol, Haziq Ridwan.

Melengkapkan senarai 22 pemain bagi sesi latihan petang tadi ialah dua bekas pemain Harimau Muda B yang mewakili Negeri Sembilan musim lalu iaitu Ashmawi Md Yakin dan Shahrul Igwan Samsudin, serta dua pemain berpengalaman Azammuddin Mohd Akil dari Johor Darul Ta’zim dan Joseph Kalang Tie dari Pahang.

Tiada kelibat Syahmi Safari dan muka baharu, Sean Eugene Selvaraj dari Negeri Sembilan yang diberi pelepasan kerana mengikuti latihan skuad kebangsaan bawah-23 tahun kendalian Ong Kim Swee.

Empat pemain import, Rufino Segovia yang dikekalkan dari musim lalu serta Evan Dimas, Ilham Udin Armaiyn dan Willian Pacheco dijangka melapor diri ke kem latihan selewat-lewatnya pada pertengahan bulan selepas menyelesaikan komitmen di negara masing-masing.

Sesi latihan petang tadi dikendalikan ketua jurulatih P Maniam.

Klik untuk foto-foto dari sesi latihan hari pertama pramusim 2018