ABK17

Stadium Astro: Selangor dibenar berlatih di Padang MSN

Bukan sahaja Stadium Nasional, Bukit Jalil, skuad bola sepak Selangor juga mendapat kelulusan untuk menggunakan Padang Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil sebagai venue latihan baru menjelang Liga Malaysia 2018.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal, hari ini.

Menurutnya, mereka terpaksa mendapatkan padang latihan lain kerana penutupan Padang Kelab Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di Shah Alam bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

“Insya-Allah kami akan memulakan latihan di Padang MSN pada Selasa depan. Saya pun sudah berbincang dengan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. Kami dibenarkan berlatih di sana,” katanya.

Meskipun tampak berdepan unsur ‘sabotaj’ oleh pihak tertentu, FAS tetap berjaya mendapatkan penyelesaian berhubung permasalahan itu.

Menariknya, mereka diberi lampu hijau oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk menggunakan Stadium Bukit Jalil sebagai gelanggang rasmi skuad The Red Giants.

“Selangor sudah lama tidak bermain di Stadium Shah Alam dengan banyak agenda dan isu-isu pelik. Perkara ini kami perlu tepis. Kami akan bermain dengan tahap kami untuk musim akan datang,” kata penyerang Selangor, Mohd Amri Yahyah.

“Bagi saya, ini adalah satu penghormatan kerana kami dapat bermain di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Ia bukan senang.

“Tetapi kalau diberi peluang bermain di Stadium Shah Alam, ia lebih baik kerana Selangor sudah sinonim dengan stadium itu,” kata pertahanan Selangor, Mohd Razman Roslan.

Sumber: Stadium Astro

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)