ABK17

Stadium Astro: Joseph Kalang sah sertai Selangor

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Rauf Ahmad, mengumumkan bekas pemain Pahang dan Sarawak, Joseph Kalang Tie, adalah antara bintang tempatan terbaru yang berjaya disambar Selangor pada musim depan.

Kehadiran Joseph sudah tentu memberi suntikan tersendiri kepada Selangor yang turut mengekalkan Amri Yahyah dan Razman Roslan.

Rauf menjelaskan pengalaman serta kemampuan Joseph yang boleh beraksi di pelbagai posisi di barisan hadapan, sama ada penyerang sokongan atau sayap, mampu menjelmakan ketajaman buat skuad Red Giants.

“Kami tahu Joseph Kalang dari Pahang dan telah memerhatikannya sejak awal musim. Mungkin itu strategi daripada ketua jurulatih, P. Maniam, untuk menghadapi musim depan,” katanya.

Rauf juga mengesahkan bintang muda Indonesia, Evan Dimas, turut berada dalam radar Selangor pada musim depan, namun dalam masa sama, Rauf menjelaskan Andik Vermansah masih dalam proses rundingan bersama Selangor dan desas-desus khidmatnya tidak lagi diperlukan adalah tidak benar.

“Selangor masih belum memberikan kata putus mengenai soal pemain import lama atau baru. Masih ada empat kuota dan masih terlalu awal untuk mengesahkan Andik akan kekal atau tidak.

“Bagaimanapun, dalam masa terdekat, akan dibentangkan senarai pemain-pemain yang patut dikekalkan atau tidak bagi musim 2018,” katanya.

Sumber: Stadium Astro

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)