JURULATIH Selangor, P. Maniam mengambil pengajaran terhadap kekalahan 1-3 kepada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kempen Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin kelmarin.

Maniam berkata, para pemain memberi tentangan hebat pada perlawanan itu. Bagaimanapun, gol kedua skuad Harimau Selatan oleh Gary Steven Robbart merencatkan momentum perlawanan.

“Pada separuh masa pertama, kita dapat lihat pemain berjaya mengekalkan rentak perlawanan dengan menyamakan kedudukan, namun semangat mereka sedikit luntur apabila JDT kembali di depan menerusi gol Gary.

“Secara jujur, saya telah berhubung dengan Andik dan bertanya kepada dia sama ada masih berminat untuk mewakili Selangor pada musim ini. Andik menjelaskan kepada saya bahawa dia tidak mempunyai sebarang masalah dan bakal tiba ke sini pada 20 April depan.

“Saya harus akui JDT bermain baik di laman sendiri dan bola juga dikuasai oleh mereka dengan kelebihan 60 hingga 70 peratus penguasaan. Mungkin rehat selama satu bulan sebelum ini sedikit mengganggu prestasi pemain.

“Apa pun kami mengambil pengajaran terhadap perlawanan ini dan cuba membaiki beberapa kelemahan taktikal khususnya di bahagian pertahanan,” katanya.

Mengulas mengenai perancangannya, Maniam memberitahu, beliau akan memastikan Selangor kembali mendapat rentak dalam tempoh satu minggu sebelum menentang Kedah pada suku akhir nanti.

“Dalam tempoh satu minggu itu, saya akan cuba melakukan beberapa perubahan taktikal dan memperkuatkan barisan pertahanan. Pada masa sama, bahagian serangan juga akan ditajamkan.

“Saya berharap pemain dapat mengembalikan momentum serta berada di prestasi sebenar untuk menentang Kedah yang dianggap pasukan yang kuat pada suku akhir nanti,” katanya.

Sumber: Kosmo!

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)