Pemain pertahanan kanan Syahmi Safari memberi isyarat dia berada di prestasi terbaik untuk bersama skuad bawah 22 tahun negara (B-22) selepas meledak dua gol membantu Selangor menewaskan T-Team 4-2 dalam aksi Liga Super kelmarin.

Syahmi, 19, antara 26 pemain yang dipanggil jurulatih Datuk Ong Kim Swee bagi kem latihan pusat skuad B-22 Rabu ini sebelum bertanding di saingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok bulan depan.

Pemain yang berasal dari Kuala Selangor itu berkata, dia gembira kerana dapat membantu Selangor mengutip tiga mata dan jaringan yang dihasilkan itu menambah lagi keyakinannya untuk beraksi di pentas antarabangsa.

“Alhamdulillah rezeki saya dapat menjaringkan dua gol, ia sememangnya memberikan semangat untuk saya beraksi dengan skuad bawah 22 tahun. Bagi saya ini juga adalah hasil pengalaman saya bersama skuad B-22 di China sebelum ini,” katanya kelmarin.

Ketiadaan Syahmi pasti dirasai skuad Red Giants yang akan mengharungi lapan lagi perlawanan termasuk empat aksi Piala Malaysia bulan ini.

Ia diakui sendiri jurulatih P Maniam yang turut akan kehilangan penyerang Adam Nor Azlin yang kali pertama diturunkan di posisi bek tengah kelmarin iaitu posisi yang sama ketika beraksi dengan skuad B-22 dalam jelajah di China bulan lalu.

“Sudah pasti kami rasa kekurangan tanpa Syahmi dan Adam jadi kami perlu menggilirkan pemain. Kami ada A Namathevan untuk mengambil tempat Syahmi, mungkin dia masih belum cukup matang tapi saya percaya dia akan meningkat dan berikan aksi terbaik,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)