Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) membuat keputusan mengejut dengan membawa masuk penyerang dari Sepanyol Rufino Segovia untuk menggantikan Juliano Mineiro yang kontraknya bakal berakhir bulan ini.

Segovia, 32, yang menjalani pemilihan sepanjang tempoh perpindahan kedua pemain bulan ini berjaya memikat pihak pengurusan Selangor dan pengendali P Maniam.

Menurut pengurus Red Giants Abd Rauf Ahmad, mereka berpuas hati dengan prestasi Segovia sepanjang sesi pemilihan itu dan terpaksa mengetepikan Mineiro dari Timor Leste kerana masalah kecederaan.

“Kami tertarik dengan kebolehan Segovia yang boleh bermain di posisi menyerang dan tengah. Dia mempunyai kualiti dan sesuai dengan sistem permainan yang ingin diterapkan jurulatih Maniam.

“Saya percaya kehadirannya mampu memantapkan pasukan untuk kita terus bersaing musim ini. Mineiro pemain yang bagus, tapi dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan. Kami bimbang dengan jadual perlawanan yang padat selepas ini akan menyukarkannya berada di tahap terbaik,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Susulan kemasukan Segovia itu, Rauf mengesahkan mereka sudah mempunyai kuota lengkap pemain import apabila penyerang Francis Forkey Doe dikekalkan manakala dua lagi slot diisi Ugo Ukah dan Andik Vermansyah.

Segovia yang berasal dari Madrid, Sepanyol pernah beraksi dengan Rayo Vallecano, Atletico B dan Atletico Madrid pada 2005-2007 sebelum berpindah ke beberapa kelab termasuk Toledo yang bertanding dalam divisyen B Sepanyol dengan meledak 45 gol dalam 86 perlawanan.

Kelab terakhir diwakilinya adalah Kitchee di Hong Kong dengan dia menjaringkan 13 gol dalam 25 penampilan pada 2016.

Sumber: Harian Metro (Aziman Rosdi)

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)