Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk melihat skuad Red Giants kembali beraksi di Stadium Shah Alam musim ini.

Sehingga kini pihak pengurusan stadium itu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) masih belum memberi kata putus sedangkan FAS sudah bersetuju dengan segala terma kontrak sejak April lalu.

Pengurus pasukan Abd Rauf Ahmad mengakui agak kecewa dengan situasi itu dan mendakwa ada ‘tangan ghaib’ cuba menggagalkan usaha mereka itu.

“Kami sebenarnya sudah bersetuju dengan segala syarat dikenakan termasuk beberapa caj kenaikan berbanding sebelum ini. Kami sanggup memenuhi segala syarat kontrak baru itu demi kepentingan pasukan dan penyokong Selangor.

“Tapi sehingga sekarang kami masih menunggu keputusan dan saya fikir agak ‘berat’ peluang untuk Selangor kembali beraksi di Stadium Shah Alam. Walaupun sudah dipersetujui sebelum ini tapi seperti ada ‘tangan ghaib’ yang cuba menggagalkan usaha ini.

“Kami sudah berusaha untuk membawa Selangor bermain semula di Stadium Shah Alam, jadi kami berharap penyokong faham dengan situasi yang berlaku ini,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Musim ini, Selangor yang dikendalikan P Maniam terpaksa beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) manakala PKNS FC menggunakan Stadium Shah Alam bagi aksi sebelah petang sementara lampu limpah stadium diperbaiki.

Bagaimanapun selepas segala kerja menaikkan taraf itu selesai, PKNS dibenarkan bermain di sebelah malam manakala Selangor terpaksa terus menunggu.

Rauf berkata, selain mampu menjana lebih pendapatan dari segi jualan tiket berbanding Stadium MPS, gelanggang keramat Stadium Shah Alam memberikan lebih keselesaan kepada penyokong.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)