Harian Metro: Halim mahu lonjak Selangor

Pemain tengah berpengalaman, Abdul Halim Zainal yakin dapat membantu Selangor meraih pencapaian lebih baik pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bekas pemain Negeri Sembilan berusia 29 tahun itu akui sukar untuk meninggalkan skuad The Red Giants, selepas semakin serasi dengan corak latihan dan bimbingan pengendali, P Maniam.

Justeru itu, dia berazam untuk membalas kepercayaan yang diberikan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang melanjutkan kontraknya semusim lagi.

“Kepercayaan yang diberikan oleh FAS untuk saya terus menabur bakti kepada Selangor bagi semusim lagi, tidak akan saya sia-siakan dengan berusaha memberikan persembahan terbaik bagi menaikkan kembali reputasi pasukan.

“Saya yakin akan dapat meneruskan sumbangan terbaik kepada pasukan selepas semakin serasi dengan corak latihan selain kerjasama padu antara rakan dalam pasukan seperti sebuah keluarga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Halim antara pemain utama yang diturunkan ketika bersama skuad Hobin Jang Hobin dari 2008 hingga 2014, sebelum berpindah kepada pasukan Sime Darby FC pada 2015, yang ketika itu beraksi dalam Liga Super.

Mengikut jejak dua abangnya, Faizal dan Khairil, Abdul Halim akui biarpun sedar cabaran musim 2018 dijangka lebih sengit jika meneliti kepada persiapan kebanyakan pasukan yang bertanding, namun Abdul Halim yakin dengan kekuatan Selangor musim hadapan.

Menurutnya, beberapa perubahan yang dilakukan pengurusan pasukan itu termasuk membawa masuk beberapa pemain tempatan berpengalaman seperti Joseph Kalang Tie dan Azamuddin Akil, selain penyerang berpengalaman sedia ada, Amri Yahyah, sudah tentu akan memberikan kekuatan baharu kepada pasukan berkenaan.

Malah katanya, penampilan beberapa pemain import baharu seperti Ilham Udin Armaiyn dan Evan Dimas dari Indonesia, pastinya akan menambah sengat skuad Selangor dalam usaha meletakkan pasukan selaku pesaing utama musim hadapan dan seterusnya memburu kejuaraan.

“Kehadiran pemain tempatan berpengalaman dan import itu menambah lagi semangat kami. Saya dan rakan-rakan sudah pasti akan terus bekerja keras dan mengikuti latihan dengan baik bagi menjulang kembali reputasi Selangor.

“Secara peribadi, saya menyasarkan untuk membantu Selangor merangkul sekurang-kurangnya satu daripada tiga piala sama ada Piala FA, Piala Liga Super ataupun Piala Malaysia musim depan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)