Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Rosman Ibrahim menganggap desakan segelintir penyokong yang mahu pemain veteran Mohd Amri Yahyah dilantik kapten menggantikan Razman Roslan hanya sebagai usaha untuk menjejaskan keharmonian pasukan.

Beliau mendakwa, sekelompok penyokong itu ditaja pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan kepulangan semula Amri bersama skuad Red Giants.

“Ada kelab penyokong ini mahu Amri menjadi kapten dan kami tahu mereka ditaja pihak tertentu untuk merosakkan pasukan Selangor.

“Razman sudah menjadi kapten sejak dari awal manakala Amri tidak pernah menyatakan hasrat untuk menjadi ketua pasukan, jadi isu tidak sepatutnya timbul.

“Harap mereka yang sengaja memainkan isu ini menghentikannya kerana kami mahu terus fokus dengan misi ditetapkan.

“Walaupun dengan bajet rendah kami masih mampu bersaing musim ini,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Amri, 36, yang sebelum ini beraksi bersama Melaka United membuat keputusan menyarung kembali jersi Selangor bulan lalu.

Pemain kelahiran Tanjong Karang itu dianggap legenda oleh penyokong Red Giants kerana pernah menjuarai banyak kejuaraan ketika mewakili pasukan itu pada 2001-2013 sebelum berpindah ke Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

Razman yang menyertai Selangor semula tahun lalu diberi kepercayaan jurulatih P Maniam untuk memakai lilitan lengan itu selepas Shahrom Kalam berhijrah ke Perak musim ini.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)