Harian Metro: Enam tonggak Piala Presiden perkasa Selangor

ENAM tonggak skuad Piala Presiden Selangor akan memperkuatkan pasukan senior The Red Giants untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perkara itu disahkan pengurus skuad Piala Presiden Selangor, Datuk Ariffin Ab Hamid yang menyifatkan ia satu kebanggaan apabila pemain muda diserapkan dalam skuad senior.

Malah, Ariffin percaya enam tonggak – Muhammad Amirul Haziq Rasmizal, Muhammad Haziq Ridwan, Muhd Syukri Azman, Muhamad Azizul Baharuddin, D Kugan dan M Tamil Maran – mampu memberi impak positif kepada skuad P Maniam nanti.

“Kami dari pasukan Piala Presiden Selangor sememangnya berbangga apabila ada pemain skuad ini diserap ke skuad senior kerana ia membuktikan mereka ada kemampuan untuk terus maju.

“Selepas ini kami akan mengambil pemain dari skuad Piala Belia untuk diserapkan ke dalam skuad Piala Presiden bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan mereka.

“Kami tiada masalah kerana matlamat skuad Piala Presiden juga mahu melihat pemain muda kami diberi peluang beraksi di peringkat lebih tinggi seperti Liga Super,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Skuad Piala Presiden Selangor di bawah bimbingan Omar Ali menunjukkan kualiti mereka apabila menjuarai Piala Presiden musim ini selepas menundukkan Terengganu dengan agregat 2-1 di pentas final.

Malah, Omar sebelum ini juga menjelaskan beliau bukan sahaja mahu melihat anak buahnya beraksi untuk skuad senior, tetapi mampu mewakili skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Sumber: Zulfaizan Mansor (NSTP)

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)