Berita Harian: Selangor tempah malang di Stadium Hang Jebat

Bolos dua gol pada babak pertama menyebabkan Selangor gagal meraih sebarang mata ketika berdepan Melaka United (MU) di Stadium Hang Jebat, kelmarin, walaupun The Red Giants cuba bangkit pada 45 minit babak kedua.

Jurulatih Selangor, P Maniam menegaskan pemainnya cuba bangkit di babak kedua tetapi usaha mereka kerap menemui jalan buntu apabila gagal menembusi benteng tuan rumah sehingga perlawanan tamat dengan kedudukan 2-1.

Katanya, selepas jaringan Rufino Segovia pada awal babak kedua, pemainnya menggandakan asakan untuk menambah jaringan, namun beberapa peluang keemasan gagal diterjemahkan kepada jaringan disebabkan tersasar atau diselamatkan benteng lawan.

“Sepanjang empat perlawanan terakhir ini, pemain kerap gagal menutup kesilapan dan membenarkan lawan melakukan percubaan atau mendapatkan gol mudah.

“Situasi sama berulang di Melaka, semua ini akan menjadi pengajaran kepada kami. Pemain perlu terus belajar daripada kelalaian yang berlaku untuk meningkatkan keyakinan dan persembahan,” katanya.

Apapun, bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan itu tetap memuji komitmen tinggi pemainnya yang berusaha gigih untuk meraih tiga mata, bermula sejak awal babak pertama termasuklah percubaan rembatan Andik Vermansyah pada minit kedua.

Namun tuan rumah jelas lebih bernasib baik untuk merekodkan kemenangan sehingga The Red Giants terlepas peluang memperbaiki kedudukan di carta liga.

Gol Melaka hasil jaringan pemain import dari Macedonia, Jasmin Mecinovic (minit ke-5) dan Marco Simic dari Crotia pada minit ke-42 sudah cukup untuk memberikan nafas baharu kepada skuad itu untuk kekal di Liga Super 2018.

Sementara jaringan Rufino Segovia untuk Selangor pada minit ke-57 sekadar merapatkan jurang jaringan selepas beberapa percubaan skuad Merah Kuning gagal menerjah jaring untuk pulang dengan tangan kosong.

Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan jurulatih Portugal, Eduardo Almeida meraih kedudukan kelapan liga dengan mengumpul 24 mata sementara Selangor di tangga keenam (30 mata).

Sumber: Nazri Abu Bakar (Berita Harian)

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)