ABK17

Berita Harian: Selangor belum selamat

Jurulatih skuad Piala Presiden Selangor, Omar Ali menegaskan pasukannya masih belum selamat untuk dinobat sebagai juara biarpun berjaya menewaskan Terengganu 2-0 pada final pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan bekalan dua gol berjaya dibawa skuad muda The Red Giants untuk aksi final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Jumaat depan.

“Belum selesa lagi sebab kami boleh jaringkan dua gol dalam tempoh 90 minit permainan di gelanggang sendiri dan tidak mustahil Terengganu boleh bangkit di tempat mereka nanti.

“Kami sebenarnya melepaskan banyak peluang yang dicipta. Apapun, syukur kami mendapat dua gol sebagai bekalan untuk final kedua,” kata ketika ditemui selepas perlawanan.

Kemenangan malam tadi tampak membuka peluang lebih luas buat Selangor menamatkan penantian selama sembilan tahun untuk merangkul kejuaraan Piala Presiden.

Kali terakhir skuad The Red Giants menjulang trofi itu pada 2008 selepas menewaskan Perak 1-0.

Selain itu, Omar turut memuji komitmen tinggi pemain skuad Liga Super Selangor termasuk Syahmi Safari, A Namathevan, Faizzudin Abidin dan Amirul Ashraf Ariffin yang dianggap berjaya membantu pasukan.

“Mereka beraksi baik dan mempamerkan komitmen tinggi. Tahun lalu mereka memang berlatih bersama skuad Piala Presiden, tahun ini saja sekali sekala.

“Jadi itu tidak menjadi masalah, kalau mereka tidak berlatih langsung bersama kami mungkin susah juga,” katanya.

Sumber: Zulfaizan Mansor (Berita Harian)

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)